Kuatkah Aku


Setiap kali aku tonton Kabhi Alvida Naa Kehna ni, aku selalu terfikir : Kuatkah aku kalau diuji sebegitu? Sejauh manakah aku bersedia untuk berjuang demi mempertahankan rumahtangga aku sedangkan aku ini sangat-sangat rapuh orangnya. Aku selalu rasa takut aku tak mampu dan takut aku tak kuat.

Kalau aku kuat, bagaimana pula dengan Pokchik.. kuatkah dia..? Tidak goyahkah dia jika diuji sebegitu rupa? Jika dia gagal di dalam ujian ini, bagaimana dengan aku.. perlukah aku terus bertahan dan bertahan walau jauh di dalam jiwa aku terseksa. Apa perlu aku lakukan jika aku berada di dalam situasi itu?

Ya, banyak persoalan yang bermain di fikiran.
Soalan-soalan yang semakin difikirkan semakin tidak ada jawapan.

Pernah satu ketika aku merasakan rumahtangga kami masih belum kuat diuji. Dalam erti kata lain, rumahtangga ini sebenarnya tidak pernah diuji, jadi memanglah kami ok - bahagia - saling mencintai dan tak rasa terancam atau diancam. Hubungan yang tidak pernah diuji sukar diketahui tahap kekuatannya, itu yang aku risaukan.

Hari-hari aku berdoa dan berharap semoga rumahtangga kami selalu dilindungi dan dijauhkan daripada sesuatu yang berat untuk kami pikul. Aku sejenis manusia yang tak berapa suka pada kejutan. Aku tak suka. Sebab aku cepat panik dengan benda-benda yang mengejut ni. Biarlah bunyi macam hidup aku ni hambar dan membosankan, tapi jangan bagi aku kejutan. Aku tak suka.

Aku juga jenis manusia yang payah terima kehilangan.
Bab-bab kehilangan ni aku ada semacam fobia tak tahu nak cakap macam mana. Aku tak suka kehilangan dan tak pandai berhadapan dengan kehilangan. Janganlah aku diuji dengan kehilangan, itu je. Memang aku kalah.

Setiap malam sebelum tidur, aku tenung Pokchik lama-lama. Aku doa dalam hati ; Ya Allah beri aku pinjam dia untuk satu hari lagi. Tolonglah Ya Allah, jangan ambil dia dari aku lagi. Jadi bila pagi, aku celik je mata, memang mula-mula aku akan cari Pokchik dulu. Panik kalau tak nampak dia. Lagi panik kalau tengok dia masih tidur sebab kebiasaannya dia bangun dulu sebelum aku. Kalau dia tak bangun tu, aku panik. Sampai nak nangis punya panik.

Faham tak perasaan bergantung yang sangat-sangat bergantung tu?
Memanglah kita sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada Yang Maha Esa, itu aku tahu. Aku pun bukan nak kata aku nak bergantung kepada manusia. Tapi aku suka perasaan sangat bergantung tu, sekurang-kurangnya perasaan tu akan buat aku semakin sayang pada Pokchik dan semakin rajin nak hargai dia setiap hari. Ya, setiap hari.

Kita tak tahu bila ajal akan datang menjemput kan.






Share:

1 comment:

  1. Kereta yg dibuat di kilang tu setiap satunya akan diuji, kalau tak diuji..takut pulak akan beri bahaya kepada pemandu setelah dibeli.

    maknanya,ujian adalah sesuatu yg bagus.

    ReplyDelete