Ambil Serius Tentang Diri Sendiri

Menghampiri jam 2 pagi, mata masih belum mahu mengalah. Ada sesuatu yang membunuh nafsu tidurku. Bercampur-campur perasaan hari ni, bukan kerana Cuppucino hangat yang aku teguk awal tadi.. tapi kerana hati aku berjaga dan belum mahu berehat.. 

Kurang 10 hari lagi 2017 bakal menjengah. Apa agaknya yang menanti aku di helaian baru nanti..? 2016 pastinya bukan 'tahun aku' yang mampu dibanggakan malah mungkin menjadi tahun yang paling kosong untuk aku selain Kenangan Umrah Aidilfitri awal Julai yang lepas. Itu sahaja paling menarik sepanjang tahun ini.

Macam mana azam 2016.. dah tercapai ke..? Pergi mampusssss dengan azam tu semua. Satu pun tak ada yang tercapai sempurna. Semua separuh-separuh sahaja, ada juga yang langsung tak terlaksana walau seinchi. Benci. Sakit Hati. Susah nak gembira bila azam kau awalnya beria-ia, penghujungnya jadi benda paling sia-sia. Susah. 

Tiba-tiba teringat kata-kata Dr.Azizan Osman dalam Seminar Mengenal Potensi Diri yang aku hadiri dulu.. 

"Sesetengah manusia ni tak AMBIL SERIUS dengan hidup dia sendiri.. sebab tu dia tak tahu apa yang dia nak, apa yang dia perlu cari.. dia tak tahu nak gunakan apa yang dia ada.. dia tak tahu gunakan masa yang dia ada.. Bukan sebab dia BODOH tapi sebab dia tak ambil serius tentang diri sendiri..

Percaya pada saya, sekali anda ambil serius tentang hidup anda; everything will change...! Fokus dan pemikiran anda akan terarah kepada apa yang anda ingin capai. Yang lain-lain tu semua semak je.. tak penting.. so, abaikan..!"

see..

Mungkin benar, aku memang tak pernah ambil serius hidup sendiri. Terlalu selesa duduk dalam zon selamat. Aku tak pernah sungguh-sungguh kejar cita-cita aku sebab aku rasa cita-cita tu terlalu besar dan terlalu tinggi. Aku cuma mampu bermimpi dan menyulam angan-angan pada bintang-bintang yang bergantungan. Aku pengecut. Titik. 

Ehh.. penat la merungut..!
Penat la sembang pasal benda ni.. banyak kali dah aku sembang benda sama. Berubahnya tak juga..! Pergi berambus lah..! ;'( 

I'm fine..
I'm fine..
Selamat datang 2017.



...

Share:

"Hidup Ini Adalah Tentang Mencari Dan Mengenal Diri Kita Yang Sebenar" - Natasha Hudson

Hari tu masa baca kisah Natasha Hudson yang telah mengenakan niqab, hati aku jadi sebak. Siapa belum baca kisah beliau mohon google segera. Aku rasa setiap muslimah mesti baca dan ambil iktibar daripada kisah beliau. Sebab kisah dia seperti juga kisah Diana Amir, Mizz Nina, Neelofa dan ramai lagi artis dan selebriti yang telah menemui titik mengenal diri dan kemudian mereka berhijrah sepenuhnya. Sedangkan kita yang bertudung litup sejak akhil baligh ni benar-benarkah sudah mengenal diri dan mengerti yang sebenar-benarnya makna dan hikmah disebalik kewajipan berhijab dan menutup aurat itu..? Betul-betul fahamkah kita..?

"Hidup ini adalah tentang mengenal dan mencari diri kita yang sebenar.." kata Natasha Hudson. 

Aku cemburu dengan dia. Sudahlah cantik, tinggi lampai, baik, lembut, berada, anak-anak comel sihat dan bijak. Allah berikan pula kekuatan kepada dia yang cantik dan popular tu untuk melangkah jauh meninggalkan dunia glamour ini dengan berhijab dan berniqab sepenuhnya. Bukan mudah sebenarnya bagi seorang wanita yang dilahirkan berwajah cantik ala pan-asia seperti dia untuk menutup kecantikan itu daripada pandangan umum. Kerana perempuan ini fitrahnya sukakan kecantikan dan kecantikkan itu adalah kebanggaan dan satu bukti kejayaan. 

Sudah diberi cantik, ditutup pula.
Bukan calang-calang perempuan mampu berbuat begitu.

Apa yang buat kisah Natasha Hudson ini berbeza daripada kisah penghijrahan selebriti yang lain adalah beliau mengakui pernah berniqab kemudian buka semula. Kerana apa..? Kerana desakan naluri wanita yang sukakan kecantikan dan perhatian. Beliau juga pernah rasa situasi iman sangat lemah.. 'penat jadi baik' dan 'takut dipanggil ustazah' bila mula-mula berhijrah. Tapi beliau lawan perasaan tu. Bayangkan itu baru kisah seorang, di luar sana ramaaaaaaiiii lagi yang melalui hal yang sama. Ada yang berjaya lawan, ada pula yang tertewas. 

Ada pula yang sudah berhijab tapi kemudiannya buka semula. Ada yang okey sedikit, mula-mula berhijab penuh kemudian tiba-tiba semakin pendek pula hijabnya hingga tidak lagi menutup dada dan perhiasan lain ditubuhnya. Kononnya kerana keperluan kerjaya dan masih mahu bergaya dengan fesyen. Berselindunglah mereka di sebalik istilah "berhijab tak semestinya tidak boleh berfesyen" ..  "berhijab tapi masih trendy" ..dan sebagainya. Itu belum masuk cerita mereka yang berhijab tapi bersolek tebal, berhijab tapi berbaju ketat, berhijab tapi bergaya melentik-lentik badan.. terkini berhijab tapi seluar paras atas buku lali. Trend kejadah apa begitu..? 

Bila orang tegur yang mereka tidak faham makna hijab yang sebenar, wahh..! melenting pula. Mereka jawab; sekurang-kurangnya mereka berhijab daripada tak berhijab langsung. Ya, betul juga. Maka yang menegur ini rasa bersalah kerana menegur, dan yang ditegur pula mendabik dada kerana merasakan jawapan mereka markah penuh gred A++ 

Agaknya di depan Tuhan nanti jawab begitu juga ke..?

Berbalik kepada kisah Natasha Hudson tadi, aku merasakan sebak yang teramat itu kerana aku merasai perasaan yang sama. Perasaan 'malas' dan 'rasa berat' nak berhijab penuh itu pernah ada dalam diri aku. Nauzubillah. Semoga Allah ampunkan dosa aku kerana perasaan-perasaan sebegitu. Aku respect NH kerana beliau mampu lawan dan kembali berniqab selepas itu. Kuatnya dia. Besarnya rahmat Allah ke atasnya. Bertuah dia. Sedangkan aku, masih tercari-cari kekuatan itu. 

Mencari dan Mengenal Diri

Aku selalu bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana aku mengenali diri ini dan sebanyak mana aku telah mendengar kata hati aku tentang apa yang aku mahukan dan inginkan dalam hidup. Ternyata aku tidak pernah puas dengan jawapan yang aku perolehi. Seolahnya aku belum benar-benar mengenali bisikan hati aku sendiri. Apa yang aku inginkan dalam hidup ini..? Aku belum menemui jawapan yang jitu kerana jawapan yang hati ini berikan sering kali berubah-ubah. Bukankah sepatutnya jawapan kepada soalan itu mesti SATU dan JITU. Bukan berbilang-bilang dan selalu longgar tidak menentu..?

Siapa aku dan apa aku ingin jadi nanti..?
Aku tidak tahu.

Apa yang aku suka..?
Banyak

Apa fokus dan matlamat aku..?
Tidak pasti. Tidak pernah satu jawapan sahaja yang muncul dalam benakku.

Aku Mahu Syurga

Ada satu yang pasti, iaitu aku mahu syurga. Ya, aku mahu syurga.
Syurga sahaja impian dan matlamat hidup aku..? Bohong. Aku mahu lebih daripada syurga. Lantas apa yang aku telah korbankan untuk memperoleh syurga..? Tiada. Hampir tiada. Aku masih mengejar dunia, bahagia sementara, kemasyhuran, perhatian manusia, dan aku masih selalu sentiasa malah tanpa rasa bersalah menghabiskan masa aku untuk hiburan dunia. Jadi, bagaimana mampu aku beroleh syurga..? Apa mungkin aku mengatakan satu-satunya matlamat hidup aku adalah syurga..?!!

Kalau berkehendak syurga yang sebenar-benarnya, aku sepatutnya menumpukan seluruh malam-siang-makan-tidur-jaga-berhibur-bersukan-mimpi-berjanji-bercakap-berbual-diam-menung-malah setiap hela nafasku ini untuknya ; syurga. Sedangkan aku..?

*terkelu*

Aku masih jauh daripada makna hijrah. Hijabku, bukan jawapan kepada pencarian makna hijrah dalam hidupku. Gelaran Hajah yang tergalas di kedua-dua bahuku sejak dua tahun lepas juga nampaknya bukan jawapan kepada Siapa Aku yang aku cari selama ini. Aku lebih daripada jauh dari makna mengenal diri. Bisikan hati dan apa yang berlegar di dalam fikiranku tidak mampu memuaskan pencarianku. Maka, aku masih mencari. Meraba-raba. Hilang. Tenggelam. Dan masih sendiri mencari.

Semoga suatu hari nanti aku menemui semua jawapan.

Hanya doa tempat aku tautkan segala harapan dan kemungkinan. Biar aku tenggelam tapi harapan kepada Tuhan tetap hidup dan bernyawa. Aku masih percaya Allah Itu Maha Pengasih dan Penyayang. Allah Itu Maha Mendengar dan Melihat. Allah sedang melihat aku. Allah sedang menyimpan semua jawapan yang masih bersarang. Suatu hari nanti Allah akan temukan aku dengan jawapan itu. Semoga airmata yang aku tahankan selama ini bakal menjadi saksi betapa aku sedang merangkak dan menggapai segala kemungkinan demi menemui jawapan itu.

Harapan kepada Allah masih kuat.
Hanya itu tempat aku berpaut dan bersandar.

Aku harap kalian juga begitu.



...
Share: