Alahai Suami Zaman Moden Versi 2017

Suami zaman moden ni tak sama macam bapa-bapa atau atok-atok kita zaman dulu. Kalau bapa dan atok kita dulu bila beristeri suka isterinya duduk di rumah uruskan rumahtangga dan anak-anak. Berbeza dengan suami zaman sekarang, mereka lebih suka tengok isteri keluar bekerja dan sama-sama cari sumber pendapatan untuk tampung kos hidup seharian. Kalau isteri duduk sahaja di rumah, suami susah hati. Suami rasa isteri tak produktif, jadi malas, nanti makin gemuk, dan macam-macam alasan lagi suami akan berikan supaya isteri tak betah duduk di rumah.

Suami zaman sekarang suka isterinya keluar bekerja dan bergaul dengan orang. Secara tak langsung, suami menyimpan harapan si isteri dapat tampil cantik dan bergaya macam isteri orang lain. Kalau isteri duduk di rumah sahaja, nanti isteri malas nak melawa. Jadi di suruh isteri keluar bekerja, bersolek dan bergaya. Bila kawan-kawan puji isterinya cantik macam anak dara, si suami kembang-kempis hidung bukan main bangga.

Sikap Suami Zaman Moden 

Suami zaman bapa dan atok kita dulu, malu kalau isteri boleh cari duit lebih daripada suami. Ego orang lelaki dulu-dulu tinggi melangit. Tak akan dibiar isteri cari duit lagi, malu nanti orang sekeliling mengata suami tak mampu menyara anak bini. Suami zaman moden, tak kisah kalau isteri lebih tinggi pangkat atau lebih banyak gaji daripada suami. Malah di bahagi-bahagi pula kos tanggungan dengan isteri. Duit tadika anak, isteri bayar. Duit dapur, isteri guna duit sendiri. Duit bawa anak ke klinik pun guna duit isteri. Suami sudah keluar duit bayar ansuran rumah, bil api, air dan astro katanya. Wah...! isu nafkah di ambil ringan bak semilir melintas di petang hari.

Suami zaman dulu, kalau boleh balik sahaja kerja, isterinya sudah tunggu di rumah. Isteri sambut kepulangan suami dengan menyiapkan minuman dan santapan yang sedap-sedap hasil air tangan isteri. Tapi suami zaman moden, tak kisah kalau isteri balik malam kadang sampai dini hari. Tak apa asalkan isteri whatsapp dulu suami bagitahu 'ada urusan kerja, balik lambat hari ni'. Suami makan di kedai hari-hari pun tak mengapa. 

Suami zaman sekarang kalau berkawan berlebih-lebih sampai abai anak bini. Kalau bab menjaga hati kawan, ribut petir pun sanggup diharungi. Tapi bila bab menjaga hati isteri, cukup berkira. Nak belikan bunga mawar sekuntum pun membazir sahaja katanya. Si suami selalu fikir isteri kena faham masalah kewangan suami, sedangkan suami tak nak pula cuba faham masalah hati dan perasaan isteri. Sebab itu suami zaman sekarang sudah tidak manis dan tidak romantik macam suami-suami zaman dulu. 

Isteri Zaman Moden Terlalu Berdikari

Isteri zaman sekarang dibiar memandu sendiri, pergi kerja awal pagi balik kerja menghampiri Maghrib. Isteri sendirian menguruskan anak-anak daripada urusan sakit pening sampai urusan ke tadika atau sekolah. Isteri juga yang perlu fikir apa ada di dapur, cukup tak barang basah nak masak setiap hari. Kalau tidak cukup, perlu di beli. Belanjawan dapur sepenuhnya diserah kepada isteri. 

Kalau suami zaman dulu, tak dibiar isteri terlalu berdikari. Bimbang nanti isteri naik tocang. Satu tahap nanti bila isteri sudah pandai buat sendiri, nanti isteri pula pijak kepala suami. Lagipun suami zaman dulu, mereka bangga kalau dapat buat semua untuk isteri. Memandu untuk isteri, ke pasar untuk isteri, bawa isteri shopping dan bayarkan apa yang isteri pilih sendiri. Mereka rasa bangga dan rasa 'kebergantungan' seorang isteri yang jitu. Tetapi suami zaman sekarang, makin isteri pandai berdikari makin si suami berdada lapang. Pandai-pandai isterilah uruskan semua.

Suami Zaman Moden, Hargailah Isteri

Bukanlah saya nak menafikan pengorbanan seorang suami, tetapi sikap seorang suami itu seharusnya memperkasakan rumahtangga bukan sebaliknya. Saya juga faham, ekonomi zaman sekarang terlalu mencabar sampaikan suami isteri sama-sama perlu bekerja dan sama-sama perlu saling menanggung kos kehidupan. Saya faham itu. Tetapi rumahtangga yang Sakinah Mawaddah Warrahmah itu bukanlah didukung oleh faktor ekonomi semata-mata. Apa guna duit segudang kalau rumahtangga hambar tanpa perhatian dan kasih sayang. Fikir-fikirkan.

Nilai seorang isteri jangan direndah-rendahkan. Ingat, isteri zaman moden juga lebih bijak dan berani membuat keputusan. Jangan nanti bila si isteri minta dilepaskan kerana alasan sekian-sekian, baru si suami nak terpinga-pinga tidak percaya di mana silapnya. Sementara ada, hargailah. Bila dah tak ada, usah menangis meratap hiba. 

Semoga suami kita bukan suami moden yang saya maksudkan.
Suami kita baik-baik dan budiman. InsyaAllah.

:)


...




Share:

2 comments:

  1. ohoi. gigih ummul baca.betul sgt ni.hihi..berpada2 la kan..

    ReplyDelete
  2. ohoi. gigih ummul baca.betul sgt ni.hihi..berpada2 la kan..

    ReplyDelete