Allah, Berikan Kami Kesempatan Untuk Membahagiakan


Kalau sudah bukan rezeki, kita kail pancing jala sekalipun tak akan mendapat jua. Walau rezeki dah tersedia tinggal nak suap ke mulut pun, tapi kalau sekali ditepis maka jatuh ke tanah juga akhirnya. Tetap bukan rezeki kita. Aku terima itu bukan rezeki aku. Redha tu belum lagi sebab redha tu tahap tertinggi. Aku belum mampu redha. Perlahan-lahan lah InsyaAllah aku redha nanti-nanti. Setakat ni aku hanya mampu menerima hakikat, itu bukan rezeki aku. Bukan rezeki kami. Sedih, kecewa dan rasa putus asa kembali bersawang dalam hati aku. Dan buat masa ini, aku biarkan sahaja semua perasaan tu menghuni hati aku sepenuhnya.

Aku tidak akan pujuk hati sendiri mahupun hati dia. Biarlah kami nikmati rasa sakit ini untuk sementara waktu. Mudah-mudahan di satu saat nanti, bila kami sudah berjaya memperolehi apa yang kami idamkan dan bila kami toleh semula ke belakang ke arah jalan-jalan curam yang pernah kami lalui, saat itu nanti kami mampu tersenyum dan saling berpelukan. Saat itu nanti aku harap di dalam hati kami boleh berasa bangga kepada diri sendiri kerana telah berjaya melaluinya. Syabas..!

Rezeki ni bukan urusan kita untuk fikir dalam-dalam kenapa dapat dan kenapa tak dapat. Kalau dapat, ucap syukur banyak-banyak. Kalau tak dapat, bersangka baik sahaja. Allah dah susunkan baik-baik untuk kita. Dan Allah tak pernah kejam terhadap hamba-hambaNya. Allah beri yang terbaik kepada setiap hambaNya pada saat yang paling tepat. Simpan tu kedap-kedap. Ingat. Tanam dalam kepala. Setiap satu yang berlaku kerana Allah sayang. Titik.

Menangis. Aku menangis hari ini kerana aku sedar aku hanyalah hamba. Aku bukan siapa-siapa. Aku tidak layak membesar diri. Aku cuma hamba sahaja. Airmata membersihkan hati aku. Dan aku tahu dia juga menangis, dia juga kecewa. Dia tidak marah, jauh sekali marah dengan takdir tetapi dia menangis kerana rasa tidak berdaya. Dia juga hamba. Airmata aku melegakan perasaan yang bersarang, tetapi airmata dia membuatkan hati aku terguris pedih dan ngilu. Aku tidak boleh melihat airmata dia. Kesedihan dia membunuh ku.

Allah,
Beri kami kesempatan sekali lagi.
Biarkan airmata itu menghujan aku, namun hapuskan lah airmata dia. 
Biar aku seorang menanggung rindu, dan Kau lapangkan lah hati dia.

Dia segala-galanya untuk aku di dunia ini.
Sebelum Kau menjemput aku kembali, sempatkan aku untuk membahagiakan dia dahulu. Walau untuk kali yang penghabisan, dan biar untuk hembusan nafas aku yang terakhir. Izinkan aku bahagiakan dia yang paling aku sayang dan sentiasa aku puja.

Allah,
Beri kami kesempatan untuk membahagiakan..


...

2 comments:

  1. InshaAllah kak Ain, kalau Allah tak bagi rezeki A barangkali rezeki B yang mendatang. Kita merancang, Tuhan juga merancang dan Dia sebaik baik perancang.

    ReplyDelete
  2. Setiap individu itu berbeza..ada yang mampu simpan sendiri...ada yang tak mampu... Do your best kak! Love u

    ReplyDelete