5 Sebab Suami Mesti Tahu Kitaran Haid Isteri

Sebenarnya dah lama aku nak sembang tajuk ni. Sebab aku jumpa banyak situasi awkward bila para suami yang muka handsome, segak, perkasa dan loving secara luarannya tapi bila tanya tentang tajuk ni terus biru muka. Macam dapat soalan daripada malaikat maut. Walaupun tajuk ni macam enteng sahaja, tapi percayalah ada ramai para suami di luar sana yang tak pernah ambil tahu tentang tempoh kitaran haid isteri.

Situasi di dalam bilik kecemasan sebuah hospital, isteri lemah dan separuh sedar, macam nak pengsan, di fahamkan isteri sudah mengandung beberapa minggu tapi tak tahu yang diri tu mengandung. Bila doktor tanya kepada suami "bila last day isteri encik period?" time tu juga si suami terus pura-pura pengsan. Dia ingat pengsan secara berduet ni comel agaknya..?!!

memahami kitaran haid isteri, membaca mood isteri, kenapa mood isteri tak menentu, perubahan hormon, mood swing, mood orang perempuan, kitaran haid, hubungan kitaran haid dengan mood perempuan
Gambar lama -- sekadar hiasan

5 Sebab Suami Mesti Ambil Tahu Kitaran Haid Isteri

Mohon jangan taboo sangat bila sebut bab kitaran haid ya. Masa sekolah menengah dulu kita semua belajar bab ni tapi aku berani jamin, tak berapa kerat sangat kaum lelaki yang betul-betul ambil berat soal kitaran haid ni. Mungkin bagi anda bab kitaran haid ni benda yang memalukan, yang kotor, yang geli dan tak patut dibualkan. Tapi kalau dah sah bernikah, isteri tu dah jadi tanggungjawab dan amanah untuk anda. Jadi benda pertama yang perlu anda tanya adalah keadaan atau kesihatan kitaran haid isteri.

Yang para isteri pun salah juga, takut-takut sangat nak bercerita dengan suami tentang kitaran haid kita. Terutama yang mungkin alami kitaran haid tak teratur atau tak normal. Mula lah rasa diri hina dan banyak kekurangan. Malu dengan suami sendiri dan sanggup pendam rahsia dan rasa dalam hati sahaja. Sudahnya, tak ada yang untung pun. Dua-dua makan hati. Para isteri kalau bercerita bab lain bukan main lancar, tapi bila bab kitaran haid malu pula. Tak bolehlah begitu. Perkahwinan di bina atas rasa kebersamaan, cinta dan saling berkongsi. Ingat tu.

Kenapa suami kena tahu tempoh kitaran haid isteri?

Pantau Tahap Kesihatan dan Kesuburan Isteri

Salah satu tujuan manusia berkahwin untuk mendapatkan zuriat seterusnya dapat mengembangkan ummat Nabi Muhammad s.a.w. (zuriat yang soleh dan solehah). Jadi, kalau nak dapat zuriat mestilah tahu masa dan keadaan yang sesuai untuk dapatkan anak. Secara tak langsung kena tahu tempoh kitaran haid isteri supaya dapat sama-sama merancang dengan baik. Bila dah tahu tempoh kitaran haid isteri, baru lah boleh tahu bila waktu subur isteri. Begitu lah. Jangan harap isteri sahaja "buat kira-kira" tentang waktu subur ni, suami pun kena main peranan.

gambar hiasan (klik sini)
Selain dari dapat tahu waktu subur, paling penting bila suami tahu tempoh kitaran haid isteri baru lah suami tahu kalau isteri ada masalah kesihatan, ada masalah berkaitan bahagian produktiviti isteri dan sebagainya. Kadang-kala isteri ni malu dan takut nak bagitahu suami masalah kesihatan dia, jadi suami kena main peranan. Bawa isteri berjumpa doktor yang bersesuaian jika perlu.

Mudah Nak Faham Mood Isteri

Ramai orang lelaki complaint, mengatakan mereka ni susah nak faham mood orang perempuan. Sekejap marah, sekejap merajuk, sekejap menangis, sekejap ceria, sekejap nak makan pedas, sekejap nak makan manis. Sedangkan mereka lupa semua itu bergantung pada faktor kitaran haid wanita. Memang ada masa dalam sebulan tu hormon wanita akan jadi tak tentu hala sebab tu mood orang perempuan naik dan turun. 

Memahami perubahan hormon isteri (Gambar dari laman Pengantin)

Jadi kalau para suami dah tahu kitaran haid isteri, mesti senang nak "baca" mood si isteri tu. Mula-mula mungkin struggle sedikit tapi lama kelamaan suami akan faham bila masa-masa kritikal mood isteri perlu di belai dan di timang :)

Mudah Rancang Percutian

Bayangkan bila suami dah penat-penat rancang dan booking segala tempat percutian yang menarik dan mahal-mahal, tapi bila sampai ke destinasi impian tu terkena pula dengan tarikh kitaran haid isteri. Tentu rasa rugi sahaja semua "pelaburan" yang di keluarkan untuk bawa isteri bercuti tapi akhirnya tak dapat bersama kerana isteri sedang dalam haid. 

Tambah pula, mood isteri tengah swing. Memang habis rosak mood nak bercuti tu. Silap haribulan, percutian romantis bertukar jadi percutian mimpi ngeri. Jadi kalau nak selamat, lebih baik rancang dan bincang betul-betul dengan isteri sebelum pilih tarikh nak pergi bercuti.

memahami kitaran haid isteri, membaca mood isteri, kenapa mood isteri tak menentu, perubahan hormon, mood swing, mood orang perempuan, kitaran haid, hubungan kitaran haid dengan mood perempuan
Waktu di Kashmir (2017) -- mood memang tengah happy sangat.. musim sejuk pula tu..! :)

Pentingkan Keselesaan Isteri

Memang penting sangat bab keselesaan ni. Sama ada nak berjalan jauh atau nak buat aktiviti lasak, paling utama sekali mesti lah soal nak keselesaan. Para suami kena faham, dalam tempoh haid terutama hari pertama hingga hari ketiga (heavy day) isteri memang berada dalam keadaan tak selesa. Nak duduk lama, sakit pinggang. Nak berjalan jauh, sakit kaki. Nak baring sahaja, tak selesa sebab haid tengah banyak. Jadi kalau nak bawa isteri buat aktiviti lasak yang kena melompat, kena merangkak, kena berguling dan sebagainya tu memang sangat tak sesuai.

Aku sendiri waktu balik dari Istanbul tahun lepas, tengah period first day. Bayangkan dalam flight yang 11 jam tu aku menahan rasa tak selesa. Kami bukan naik flight bussines class yang kerusi gedabak besar macam katil bujang tu. Kami naik flight kelas biasa. Agak sempit dan tak selesa untuk aku. Rasa nak terjun keluar daripada kapal terbang tu. Tapi tak ada pilihan, terpaksa juga bertahan selama 11 jam lebih. Mujurlah itu perjalanan balik  :)

11 jam perjalanan balik ke Kuala Lumpur

Ambil Tahu Keperluan Isteri Sepanjang Tempoh Haid

Ini satu lagi bab yang ramaaaaiiii orang lelaki tak nak ambil tahu. Bila terpaksa belikan tuala wanita (pad) untuk isteri, suami jadi biru muka sekali lagi. Ada yang tak tahu langsung jenama dan jenis-jenis tuala wanita. Tak pernah tolong belikan dan tak pernah temankan isteri beli barang-barang keperluan penting ni. Alasan mereka ; malu. Tapi bila dalam keadaan terpaksa macam mana..? Tak kan nak biar sahaja isteri tu berdarah meleleh-leleh celah kelengkang. Cuba fikir.

Sebab tu penting untuk ambil tahu kitaran haid isteri, ambil tahu berapa hari isteri selalu datang haid, berapa hari heavy, berapa hari mild. Ambil tahu juga jenama tuala wanita yang isteri selalu guna. Jarang-jarang orang perempuan nak tukar jenama tuala wanita sebab dah selesa dengan satu-satu jenama. Benda ni senang je, kalau minta isteri explain pun confirm tak sampai 10 minit suami akan faham.

Contoh tuala wanita jenama Libresse Night - siap ada wing dan saiz lebih panjang (32cm) untuk keselesaan dan jaminan tidak bocor. Ini juga sesuai untuk waktu heavy day
Contoh tuala wanita jenama Libresse Maxi - tanpa wing dan bukan jenis slim. Kena tahu tak semua perempuan selesa pakai pad ada wing sepanjang masa. Ini sesuai untuk waktu aliran haid mild (sederhana)

Ini pula panty liner untuk kegunaan di hari-hari terakhir haid kerana darah haid sudah mula mengering. Untuk kegunaan harian (bukan di dalam haid) juga sesuai untuk mengelakkan keputihan dan bau. 

Okey, itu sahaja 5 sebab utama kenapa para suami mesti ambil tahu tempoh kitaran haid isteri. Kalau ada lagi nak tambah, sila komen di bawah. Semoga bermanfaat dan dapat membantu para suami dan isteri di luar sana yang selama ini mungkin malu nak bercakap soal ini.

Ingat ya, haid ini adalah pemberian Allah s.w.t. yang penuh hikmah tersembunyi. Kalau kita ambil yang baik, kita akan bersyukur tapi kalau kita nampak hanya yang buruk, kita akan merungut. Haid ini juga sebahagian daripada aurat isteri dan sekali gus menjadi tanggungjawab suami. Wajib ke atas suami memastikan segala keperluan untuk isterinya terisi sebelum, semasa dan selepas haid. Bukan fizikal sahaja malah emosi dan spritual juga.

Selamat menjadi suami isteri yang bahagia lagi membahagiakan.







p/s  :  Ini bukan post review berbayar. Jenama Libresse yang digunakan sekadar contoh. Harap maklum. Gambar-gambar yang juga di ambil daripada Google Image sekadar hiasan.

...




spacer

Giveaway Merdeka 2019

Setelah sekian lama tak join giveaway daripada sahabat-sahabat blogger, hari ni kita try luck dengan join salah satu giveaway yang sangat mudah penyertaannya. Tapi hadiah nampak menarik sebab tudung bawal tu bidang 50"- 60" memang aku suka. InsyaAllah kalau ada rezeki dapatlah aku hadiah yang di tawarkan tapi kalau tak ada rezeki pun yang penting dapat tambah kenalan dan eratkan ukhwah. Alhamdulillah.

Jom join sama-sama. Tarikh tutup 9 September 2019 tau.

Giveaway Merdeka 2019 by Blog Huhahuhajerr 

Macam biasa, klik banner ni untuk join giveaway ni ok.

Blog huhahuhajerr, sahabat blogger, giveaway merdeka, giveaway 2019
Giveaway Merdeka 2019

Syarat-Syarat Penyertaan :

1.  Follow blog INI, follow Instagram INI dan Like page INI serta subscribe Youtube INI (sekiranya ada). = DONE

2.  Juga Follow blog INI, follow Instagram INI dan Like page INI yer! = DONE

3.  Masukkan blog INI dan INI ke dalam bloglist blog masing-masing (wajib) = DONE

4.  Buat entri bertajuk 'Giveaway Merdeka 2019' = of course DONE 

5.  Copy banner yang di sediakan di atas dan backlink kan ke blog ini. = DONE

6.  Jangan lupa hantar link penyertaan ke ruangan komen di blog ini yer. = DONE


Itu je. Terima kasih di ucapkan kepada puan empunya blog http://www.huhahuhajerr.com (Puan Noor Akmar) kerana adakan giveaway ni dan beri peluang kita join. Juga best of luck untuk semua peserta.

:)



...

spacer

Nama Alif Satar Trending Lagi

Siapa tak kenal figura yang mempunyai aura hebat ini. Alif Satar, satu nama yang sentiasa menari-nari di ruang media sosial kita dan setiap kali itu sentiasa berjaya mencuri tumpuan. Selepas satu isu viral kepada satu isu viral yang lain, nama Alif Satar selalu ada terselit di mana-mana. Tak salah lagi, dia kini memonopoli industri dengan penuh gaya dan karisma tersendiri. Walhal dia bukan baru dalam industri, cuma sejak lima enam tahun ni nama Alif Satar betul-betul trending.

Gambar Dari Google Imej (Makcik Bawang)

Nama Alif Satar Trending Lagi 

Semalam nama Alif Satar trending lagi di Twitter bila isu 'body shamming' yang melibatkan Mark Adam dan Sherry Al-Hadad menjadi hentaman dan serangan netizen. Aku sendiri baru tahu tentang isu tu semalam melalui Twitter sebab aku tak tengok rancangan siaran langsung yang di maksudkan. Nasib baik ada yang share sedutan video. Betul lah, Alif Satar ni macam super hero. Dia selalu jadi penyelamat dalam keadaan yang tak di sangka-sangka. So much respect untuk dia. 

Kita perlukan lebih ramai artis yang bijak dan spontan macam Alif Satar ni. Jadi artis tak semestinya kena jadi bimbo dan bendul. Faham tak..? Aku memang dari dulu tak suka orang melawak tak kira tempat. Cuba belajar daripada kesilapan-kesilapan macam ni dan semat dalam dada betul-betul, jadi pelawak bukan kena melawak 24 jam dan anggap semua benda adalah lawak. Tengok macam Dato Jamali Shadat, dia melawak dalam program lawak sahaja. Dalam program temu bual dia serius dan professional.

Alif Satar Dan Imej Bersih

Aku masih ingat beberapa tahun dulu waktu nama Alif Satar masih suam-suam kuku, dia pernah buat statement tak nak publisiti murahan terutama publisiti yang melibatkan hal peribadi, percintaan dan kontroversi yang menjatuhkan nama baik. Sebab Alif Satar ni antara artis yang sangat mementingkan imej bersih. Dia datang dari keluarga yang bukan calang-calang. Dia juga percaya hanya dengan imej bersih tanpa palitan kontroversi murahan akan mengekalkan nama seseorang dalam industri. 

Dia buktikan dia betul-betul memaksudkan apa yang di katakan dulu. Lihat lah Alif Satar hari ini. Hebat..! Satu nama berjenama yang kukuh berdiri dengan aura positif dan di segani. Setakat ni memang Alif Satar berjaya menepis semua publisiti murahan dan dia bersih dari kontroversi. Aku harap dia kekal begitu. Dia bukan lah sempurna, tapi seadanya. Yang penting menyenangkan dan professional.

lagu terbaru Alif Satar 2019
Alif Satar | I Want You To Love Me

Lirik Lagu I Want You To Love Me

Lagu terbaru Alif Satar ni sekali lagi berjaya membuktikan dia penyanyi yang ada kelas tersendiri. Lagu ni segar dan ada soul. Sekali dengar memang tak puas. Kalau tengok video klip lagu ni pun sangat bersahaja tapi superb and pro..! Sederhana tapi mengesankan. Aku suka. Siapa belum tengok video klik lagu ni, pergi cepat tengok di Youtube (dah cecah 675k view dalam dua minggu). 

Setiap kali ku tenggelam dalam perasaan hatiku
Hanya  wajahmu dalam fikiranku (Adakah kau pun begitu)
Dan  tiap kali ku merindu rasa yang menikam di kalbu
Ku terhempas bila teringatkanmu
Kembalikan padaku
Waktu  yang lalu
Kini  ku tak lagi mampu mencinta seperti dulu

I want you to hate me
Don’t  want you to care
Kerna ku tak layak memiliki
Dirimu yang setia menanti

I want you to hate me
Don’t  want you to care
Kerna ku tak sanggup melihatmu
Tersakiti kerna diri aku

Siapa yang bisa buat ku berubah (It’s You)
Siapa yang bisa buat ku merasa (It’s You)
Bahgia saat diri aku terjaga
It’s you, I know it’s you
Ohh aku tahu pernah ku berjanji takkan ada yang mengganti
Itukan hati berubah kan pasti

Kini ku tahu dirimu
Yang terakhir
Buat diriku
Ku beri segala

I want you to love me (I want you to love me)
I want you to care (I want you to care)
Kerna ku tak layak memiliki
Dirimu yang setia menanti

I want you to love me (I want you, I want you to love me)
I want you to care (Don't want you to care)
Kerna ku tak sanggup melihatmu
Tersakiti kerna diri aku

Siapa yang bisa buat ku berubah (It’s You)
Siapa yang bisa buat ku merasa (It’s You)
Bahgia saat diri aku terjaga
It’s you, I know it’s you

Lagu : I Want You To Love Me
Komposer dan Lirik : Faizal Tahir, Ezra Kong, Romeo, Mike Chan dan Alif Satar


Dan aku suka tengok penyanyi-penyanyi yang macam Alif Satar ni, yang tahu genre dan jiwa mereka macam mana. Penyanyi yang dah tahu channel dan laluan mereka. Bukan macam sesetengah penyanyi yang masih nak bereksperimen dengan karya mereka sampai kadang-kadang jadi merepek. Tak salah nak mencuba sesuatu yang baru, tapi kalau tak kenal kekuatan kita maka hasilnya nanti jadi ke laut dalam dan menyakitkan. 

Ada ramai penyanyi yang terpaksa jadi 'tikus makmal' hanya sebab terlalu ikut pasaran. Tapi penyanyi macam Alif Satar, Faizal Tahir dan beberapa orang penyanyi lagi jelas berbeza. Mereka tahu core mereka apa dan dalam setiap karya mereka pasti akan ditekankan elemen tersebut. Baru lah jadi identiti dan boleh jadi ubat untuk rawat rindu peminat

:)




...

spacer

Kenangan Haji 2014/1435H [BHGN V] Ziarah Madinah

Ini bahagian terakhir cerita Kenangan Haji 2014/1435H aku lima tahun lepas. Jenuh juga nak habiskan lima bahagian sebab puas cut sini cut sana. Itu pun panjang berjela juga yang aku bebel. Terima kasih banyak-banyak kepada yang sudi baca cerita Haji aku dari mula sampai bahagian akhir ni. Aku sangat-sangat menghargai kesungguhan kalian.

Okey. Macam yang aku dah share dalam post Kenangan Haji Bhgn II hari tu, balik dari Mina aku sakit. Demam dan batuk yang super kronik sampai melepek badan. Solat di hotel sahaja sebab dalam keadaan batuk-batuk, tak nak la ganggu dan sebar virus kepada jemaah lain. Lagipun aku memang tak larat sangat-sangat. Tapi lepas tiga ke empat hari, walau belum sihat sepenuhnya aku tetap gagahkan diri pergi juga Masjidil Haram untuk selesaikan Tawaf dan Sa'ie Haji aku. Kalau tangguh lama-lama takut period aku datang pula. Sedang elok lepas dua hari aku selesaikan Tawaf dan Sa'ie Haji tu, betul-betul aku period. Di tambah dengan kesihatan yang teruk tu, memang aku memerap je lah kat hotel.

Masjid Nabawi, Madinah Al-Mukarramah
Madinah Bumi Bercahaya

Kenangan Haji 2014/1435H Hari-Hari Terakhir Di Mekah

Tinggal di Mekah total 30 hari (termasuk 5 hari di Arafah dan Mina). Ini bermakna lepas balik dari Mina tu, kami ada lebih kurang dua minggu lagi berada di Mekah sebelum berangkat ke Madinah. Suasana Mekah pun dah aman dan tenang sebab ramai jemaah dah beransur balik. Jadi masa-masa ni paling sedap untuk ulang-alik ke masjid. Gunakan lah kesempatan tu sebaik-baiknya. Kalau kesihatan mengizinkan, pergilah buat Umrah sunat banyak-banyak kali.

Tapi ikut kemampuan masing-masing sebab kos nak naik teksi/bas keluar Mekah untuk berniat Umrah tu semua kita tanggung sendiri. Lepas tu risiko pun tangungjawab masing-masing, pandai-pandailah bawa diri dan jaga keselamatan. Seeloknya sebelum pergi niat Umrah tu maklumkan dulu dengan rakan-rakan sebilik dan petugas TH di maktab masing-masing. Aku sendiri sempat buat umrah sunat 3 kali sahaja, selebihnya berulang-alik masjid untuk solat fardhu, tawaf sunat, qiam dan solat malam. Alhamdulillah.

Masjidil Nabawi, Madinah, Madinah Bumi Bercahaya
Ikon Masjidil Nabawi

Berangkat Ke Madinah Pada 1 Muharram 1436H

Sehari sebelum berangkat ke Madinah kami dah siap kemas beg besar, pack elok-elok dan kumpulkan di lobi hotel mengikut pembahagian kod (no.maktab). Beg besar tu akan di hantar dulu ke Madinah. Keesokkan paginya, kami keluar awal untuk ke Masjidil Haram. Hari terakhir untuk solat malam dan tawaf sunat di Masjidil Haram. Lepas tu solat subuh berjemaah dan bergerak balik ke hotel untuk sarapan, mandi dan bersiap (last round). Barang-barang semua dah siap kemas, letak di lobi hotel dan kami berjalan kaki ke Masjidil Haram untuk solat sunat dan Tawaf Wida' (tawaf selamat tinggal).

Kalau nak buat apa-apa solat sunat, sila buat sebelum Tawaf Wida'. Kalau nak bergambar atau nak beli apa-apa barang keperluan (termasuk beli makanan dan minuman, nak tukar duit, nak beri sedekah dan lain-lain) semua buat sebelum buat Tawaf Wida'. Sebab selepas selesai sahaja Tawaf Wida' jangan berlengah lagi terus berjalan balik ke hotel dan menunggu di lobi. Tak perlu naik ke bilik hotel lagi sebab kita dah check out. Jangan lupa ke tandas dahulu sebab perjalanan dari Mekah ke Madinah agak jauh dan kalau berhenti di RnR pun tandas selalunya penuh dan kurang selesa. Bila bas dah ready dan petugas TH arahkan kita naik bas, terus naik bas dan jangan lupa sentiasa berzikir. Elakkan buat benda-benda lagha. Ini adab kita nak tinggalkan Tanah Suci. Dan ya, tolong menepati masa dan menghormati hak orang lain. Biar kita tunggu orang, jangan orang tunggu kita.


Aku menangis di dalam hati sejak selesai Tawaf Wida' sampai bas bergerak perlahan-lahan meninggalkan Mekah. Sayu betul hati. Rasa terlalu banyak kenangan di bumi Mekah ni walaupun sangat hectic, sangat memenatkan, sangat huru-hara, sangat panas dan sangat menduga kesabaran. Pertama kali aku stay di Mekah begitu punya lama. Rutin harian dah jadi sebati dalam diri. Tawaf sunat setiap kali sebelum atau selepas solat fardhu tu dah macam kebiasaan yang tak boleh ditinggalkan. Selepas ni, entah bila di beri kesempatan datang ke Mekah lagi.


berjalan-jalan di sekitar Masjidil Nabawi di sebelah pagi 

Perjalanan Dari Mekah Ke Madinah

Seingat aku kami jemaah dari dua maktab, bergerak serentak dengan menggunakan 10 ke 20 buah bas. Perjalanan dari Mekah ke Madinah memakan masa lebih kurang 5 ke 6 jam. Kami berhenti rehat sekali sahaja untuk makan, ke toilet, segarkan diri dan solat jamak di sebuah RnR. Suasana di RnR panas dan kering. Kemudahan tak selesa macam RnR di Malaysia. Surau pun kecil sahaja. Kebetulan waktu kami tiba di RnR tu bersekali dengan jemaah dari Ghana atau Kenya (aku tak ingat). Semua kulit gelap tapi MasyaAllah mereka ni muka je garang dan serius tapi baik hati, peramah dan sedia bertolak ansur. Nak ambil wudhuk pun mereka sanggup beratur panjang dan bagi jemaah warga tua dahulu. Bagus sangat akhlak mereka. Subahanallah.

Berhenti rehat tu dalam 2 jam sahaja, lepas tu perjalanan di teruskan semula. Jangan salah naik bas ye..! Semua bas nampak sama. Jadi sila hafal no.bas atau no. maktab kita. Sepanjang dalam bas aku dah tak mampu menahan ngantuk. Memang tidur sahajalah sampai ke Madinah. Kami tiba di Madinah lebih kurang satu jam sebelum masuk Maghrib. Menunggu pula di lobi hotel untuk proses ambil kunci bilik. Di Madinah ni kami dapat rakan sebilik yang baharu. Sebilik cuma 4 orang sahaja. Bilik pun lebih luas dan selesa berbanding di Mekah. Sudah lah begitu, jarak dari hotel ke Masjid Nabawi juga lebih dekat (lebih kurang 500 meter). Makanya sepanjang di Madinah selama kurang lebih 10 hari tu, sangat mudah untuk kami berulang-alik ke masjid. 

membeli belah di Madinah
satu kewajipan beli coklat ni -- kegemaran Pokchik zaman berzaman

Suasana di Masjidil Nabawi, Madinah

Di Madinah cuaca lebih sejuk dan tenang. Orang-orangnya juga cool and steady tak kelam-kabut macam di Mekah. Peniaga-peniaga di Madinah lebih ramah dan mesra malah ramai yang pandai berbahasa Malaysia sedikit-sedikit. Aktiviti di Madinah juga tak banyak berbeza, pagi bangun awal dan ke masjid tunaikan solat-solat sunat sambil menunggu waktu Subuh. Selesai solat subuh berjemaah, habiskan masa membaca Al-Quran sampai matahari naik menerangi bumi Madinah Nan Bercahaya. 

kenangan di Madinah
satu-satunya gambar kenangan arwah mak mertua di depan Masjid Nabawi yang aku ada

Berjalan kaki balik ke hotel dan singgah beli sarapan dahulu. Sambil tu boleh cuci mata tengok burung-burung merpati yang banyaaaaaakkk dan jinak. Jangan kedekut, beli sedikit makanan burung dan tebar sahaja atas lantai dataran luar masjid pasti akan ada merpati yang sudi. Selesai sarapan di hotel (sarapan beli sendiri, tidak di sediakan oleh pihak TH) balik ke bilik dan berehat. Masa ni selalunya aku akan spend masa membaca buku atau membasuh baju. Di minggu terakhir sebelum balik Malaysia baru lah pulun shopping..!hehehehhe.. :)


bagi makan burung merpati adalah satu terapi

Masuk Raudhah sebelah malam selepas Isyak. Lebih panjang tempoh yang di beri jadi kita tak perlu tergesa. Seingat aku sepanjang di Madinah aku dapat masuk Raudhah 7 kali. Semuanya sebelah malam. Keluar dari Raudhah, aku dan Pokchik akan spend time duduk bersantai di dataran Masjid Nabawi sambil berbual-bual. Masa ni Pokchik akan share banyak kisah sirah Nabi dan hal-hal tentang ibadah (dia kan cikgu sejarah aku). Sambil tu boleh tengok gelagat jemaah lain yang macam-macam gaya dan cara.

ziarah masjid quba, madinah, ziarah madinah, aktiviti di madinah
keadaan dalam coaster menuju ke Masjid Quba

Ziarah Masjid Quba

Antara ibadah yang tak boleh di lepaskan bila berada di Madinah adalah menziarahi Masjid Quba. Ada pendapat mengatakan menziarahi Masjid Quba ni sama pahala seperti melakukan satu kali Umrah. Wallahualam tapi pergi lah dengan niat Lillahitaala. Kos nak ke Masjid Quba kita tanggung sendiri. Boleh naik coaster yang di sediakan di depan hotel penginapan jemaah. Tapi kena bijak pilih coaster ye, ada yang 'tekan' harga. Seeloknya pakat dulu dengan jemaah lain dan naik coaster yang sama. Tak silap aku satu coaster boleh muat 10 orang. Bayarannya pun berpatutan sebab coaster ni akan hantar kita dan tunggu kita selesai ibadah di masjid kemudian bawa kita balik ke hotel.



Masjid Quba ni tak jauh pun, dalam setengah jam sahaja boleh sampai. Tapi pemandu coaster kami ni pelakon Fast & Furious agaknya. Dia memandu macam bawa jet pejuang, punyalah laju sampai melambung-lambung. Kalau ada warga emas atau ibu mengandung, mohon pesan dulu kepada pemandu coaster tu untuk memandu lebih berkhemah dan penuh hikmah. Kami di beri masa kurang lebih 1 jam sahaja untuk qiam di Masjid Quba (1 jam tu termasuk lah beribadah, berdoa puas-puas, shopping dan snap pic banyak-banyak). Kami tak shopping apa-apa pun kecuali beli tasbih dan sedekah kepada jemaah susah di luar masjid. Dan ya, ramai peminta sedekah di luar Masjid Quba terutama kanak-kanak.


Suka diingatkan kawasan Masjid Quba ni juga mengelirukan. Ramai jemaah sesat kat situ walaupun masuk dan keluar ikut pintu yang sama. Coaster kita naik tu pun mula-mula turunkan kita kat tempat lain, bila balik dia tunggu di tempat lain. Seeloknya jangan bergerak sendirian, biar berkumpulan jadi lebih mudah pemandu coaster tu nak cari kita. Di nasihatkan juga pergi Masjid Quba ni sebelah pagi selepas sarapan, elakkan pergi pada waktu solat fardhu sebab jemaah berdekatan akan memenuhi masjid dan keadaan jadi lebih tak terkawal.


suasana selepas solat maghrib di luar Masjidil Nabawi

Kalau di Mekah, aku memang tak pernah sekali pun ikut solat Jumaat tapi di Madinah aku tak lepaskan peluang mesti ikut serta walaupun ada sekali tu terpaksa solat di luar masjid sebab lewat tiba dan kawasan dalam masjid dah penuh. Duduk dan dengar khutbah Jumaat dalam bahasa Arab yang kita tak paham satu perkataan pun tu adalah hal yang membahagiakan. Solat di luar masjid juga adalah sesuatu yang manis, macam-macam kerenah jemaah kita boleh tengok. Anak-anak kecil dan bayi comel-comel ada merata-rata di setiap sudut pandang. Meriah. Pemandangan yang sangat mahal dan tak akan dilupakan sampai akhir hayat.




Membeli-belah di Madinah

Pengalaman mengajar aku untuk membuat pilihan yang lebih baik. Mujur dah pernah pergi Umrah sebelum tu, jadi memang dah tahu beza shopping di Madinah jauh lebih seronok dan berbaloi berbanding shopping di Mekah. Kurma dan buah-buahan di Madinah lebih segar dan manis. Jubah dan sejadah di Madinah juga jauh lebih menarik, banyak pilihan, harga berpatutan dan paling penting nak shopping pun lebih selesa sebab ruang kedai yang lebih mesra pembeli. Maka, kalau anda ke Tanah Suci simpan duit untuk membeli-belah di Madinah sahaja. Apa yang ada di Mekah semua ada di Madinah malah lebih baik dan berkualiti. Jangan risau.

Tawar menawar waktu membeli-belah di sana adalah satu kemestian. Orang-orang Arab ni baik-baik kalau kita baik dengan mereka. Jangan sombong. Kalau tak nak beli, tolak elok-elok dengan senyuman dan kata-kata memuji dan syukur. Jangan jadi pembeli yang bossy atau terlampau cerewet. Kena ingat, kita datang tempat mereka walaupun kita tetamu Allah dan sepatutnya kita mendapat layanan istimewa tapi kita dan dia sama-sama hambaNya, jangan nak rasa diri besar sangat. Macam di negara kita juga : amalkan Budi Bahasa Budaya Kita :)

madinah al mukarramah, aktiviti di madinah

Al-Haram Hotel, Madinah
gambar kenangan di depan hotel penginapan kami di Madinah (Hotel Al-Haram)

Rancang dulu apa kita nak beli dan berapa kuantiti serta bajet. Jangan rambang mata dan lupa diri. Kalau nak beli cenderahati untuk saudara-mara dan sahabat handai di Malaysia, belilah ikut kemampuan kita bukan ikut standard mereka. Selain tu, aku cadangkan guna khidmat pos yang di sediakan di sana. Barang-barang yang kita beli tu separuh pos ke Malaysia dulu jadi beg besar kita tak lah pecah atau "beranak kembar" bila nak balik nanti. Kena ingat ye, kita jemaah muassasah ni semua kena buat sendiri. Beg besar, sederhana dan kecil semua angkat sendiri tak ada tukang angkat beg untuk kita. Kalau tak nak terseksa jiwa menyeret beg dekat airport nanti, sila pos dulu barang-barang yang dirasakan perlu.

makam Rasulullah s.a.w.



Proses Balik Ke Tanah Air

Kalau tak silap aku, 1 atau 2 hari sebelum berangkat balik kita dah di arahkan hantar beg besar untuk di packing dan di bawa terus ke airport. Ada had berat beg yang telah di tetapkan untuk setiap jemaah. Jadi kalau terlebih muatan tu, jemaah kena keluarkan balik barang dan masukkan ke dalam beg yang lain (kalau ada). Di lobi hotel nanti di sediakan alat penimbang. Pastikan anda kemas beg besar tu awal-awal dan timbang siap-siap. Bila dah letak di lobi, tak boleh ambil semula. Beg yang lebih muatan ni akan di tahan di airport nanti, silap-silap kita dah sampai Malaysia pun beg tu tak sampai-sampai lagi. 

Hari terakhir di bumi Madinah yang berbahagia tu, macam biasa kami solat subuh berjemaah di masjid dan qiam dulu di masjid untuk satu ke dua jam. Selepas tu ziarah wida' makam Rasulullah s.a.w. dari sebelah luar masjid sahaja sebab tak digalakkan ikut jemaah masuk ke Raudhah lagi sebab takut lambat. Ziarah Wida' ni sunat sahaja, tapi sangat-sangat dituntut kerana ia adab kita nak tinggalkan bumi Madinah jadi usahakan bagi sempat ziarah makam Rasulullah s.a.w. sebelum bergerak balik.

Ziarah Wida, selamat tinggal masjid nabawi, kubah hijau
pagi terakhir di bumi Madinah

Kemudian balik ke hotel dan menunggu di lobi sebelum berangkat menaiki bas untuk terus ke Jeddah. Kami bergerak meninggalkan Madinah selepas solat Zohor di bilik hotel masing-masing.  Perjalanan Madinah ke Jeddah memang lama, lebih kurang 6 jam lebih. Singgah sekali di RnR untuk makan dan menyegarkan diri. Sampai di aiport Jeddah tu awal malam, kena menunggu lagi. Yang ni memang lama, sangat lama sampai nak pengsan-pengsan sebab tak selesa. Badan dah letih betul. Cuaca panas dan bahang. Jemaah ramai, kawasan sempit dan tak selesa. Tapi bekal kita cuma istighfar istighfar dan istighfar sahaja sampai lelap.

Selepas menunggu sekian lama, akhirnya kami bergerak menuju tempat check in. Nak masuk ke kompleks check ini kita kena beratur pula. Satu jam lebih beratur ni. Berdiri sambil seret beg sederhana beroda masing-masing. Masa ni la kesabaran memang bak telur di hujung tanduk, bila-bila masa boleh pecah. Kesian aku tengok jemaah warga emas yang terpaksa berdiri lama untuk beratur. Nasib baik waktu malam, kuranglah panas tapi bahang tetap terasa. Ada warga tua yang terpaksa tahan kencing sebab takut nak keluar dari barisan. Kalau kita yang muda pun tahan kencing 10 minit dah rasa azab, bayangkan mak ayah atok nenek kita. Kesian oiii.



begini lah suasana kami beratur lebih satu jam sebelum check in

(Disclaimer : Benda ni aku dah buat report direct ke Tabung Haji sejurus sampai Malaysia. Aku harap TH pandang berat hal ni. TH perlu fikirkan sesuatu, kesian jemaah tua-tua tu. Lenguh weii berdiri satu jam lebih. Ohh ya, ramai jemaah kita yang bawa tongkat siap tempat duduk tu (gambar) tapi tiba dekat kastam tu, mereka tahan. Tak boleh bawa tongkat tu naik kapal terbang. Jadi kena tinggalkan di kaunter kastam. Again, kesian gila weii kat jemaah kita tu. Ada yang baru beli tongkat tu kat Madinah nak bawa balik Malaysia. Aku ada minta petugas TH runding dengan orang Arab tu tapi tak jalan gak. Tetap kena "buang" tongkat tu. Tapi petugas TH kata diaorang akan kutip semua dan bawa balik Mekah untuk sedekah di Masjidil Haram. Mudah-mudahan dapat pahala berganda-ganda untuk tuan punya tongkat tu. Aamiin.)

Gambar Google : Tongkat dengan kerusi

Lepas selesai proses check in yang punya leceh dan berjam-jam lamanya tu, kami di kumpulkan di satu tempat ber'aircond' dan berkerusi untuk berehat. Masa ni dah tengah malam, masing-masing pun keletihan yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata lagi. Lebih 12 jam dalam perjalanan yang tak tentu duduk berdiri dan rehatnya. Lebih 12 jam tak berbaring. Lebih 12 jam naik bas, turun bas, berjalan, duduk, berjalan duduk. Ya, memenatkan dan tak selesa langsung. Tapi janganlah merungut. Tolong tahan diri, kita masih dalam perjalanan musaffir kerana Allah. Sabar, istighfar, last called punya ujian, jangan sampai tergelincir.


suasana ruang menunggu selepas check in

Ruang menunggu ni agak selesa berbanding ruang sebelum check in tu. Jemaah kita sahaja tak ada jemaah dari negara lain. Masa ni kita di galakkan berzikir atau membaca Al Quran atau paling tidak tidur sahaja. Jangan berbual kosong nanti takut tak sengaja ter'mengumpat' atau ter'merungut' pula. Menunggu di ruang ni pun lamaaaaaaaa sampai masuk waktu Subuh. Bergilir-gilir la solat subuh di ruang khas yang disediakan. Ruang solat ni terbuka jadi kita yang jemaah wanita kena pakai telekung siap-siap dalam bilik air. Bersesak-sesak sikit lah tapi InsyaAllah boleh di urus dan semua dapat solat Subuh sebelum habis waktu.

Hadiah Terakhir Paling Istimewa

Selesai solat Subuh ni ada tazkirah ringkas daripada Ustaz yang di lantik oleh TH. Tazkirah ni walaupun pendek dan ringkas tapi dia punya deep, menusuk sampai ke pangkal jantung. Sekeras-keras hati manusia ni bila sekali diingatkan tentang kebesaran Allah, tentang betapa baiknya Allah, tentang betapa pemurahnya Allah, tentang betapa beruntungnya kita, tentang betapa Allah tak pernah lupa akan kita walau beribu kali kita melupakanNya.... confirm berjurai airmata juga. Betul tak..? Sayu memang sayu. Tazkirah tu adalah bekal yang penghabisan untuk kami sebelum di lepaskan kembali ke tanah air.

Memang banjir sekejap ruang menunggu tu. Tak ada tahan-tahan lagi, semua mengalirkan airmata. Bercampur-baur rasa antara perasaan rindu nak tinggalkan Tanah Suci dan rindu pada keluarga di tanah air. Rindu yang membuak-buak tak tahu nak luah kepada siapa. Rasa takut dan gemuruh yang tak ada siapa yang faham. Rasa bersih, rasa segar, rasa terang bercahaya yang tak ada siapa boleh nampak. Begitu lah.

dengan makcik sebilik di Mekah

dengan makcik sebilik di Mekah

dengan rakan satu khemah waktu di Arafah

dengan makchik satu khemah waktu di Mina

gambar kenangan dengan sahabat arwah Ayah dan kebetulan mereka sebilik dengan Pokchik di Mekah

gambar kenangan dengan Haji Din, beliau dulu satu pejabat malah pegawai kanan arwah Ayah di TH Batu Pahat

Selesai tazkirah ringkas dan pesanan-pesanan azimat tu, kami beratur dan bersalaman sesama jemaah. Sambil berselawat ke atas Baginda Rasulullah s.a.w.. Sambil bersalam dan berpelukan, saling mendoakan juga. Selepas tu kami di beri senaskhah Al-Quran seorang satu. Ini hadiah daripada kerajaan Arab Saudi untuk setiap jemaah Haji. Al-Quran tu peganglah elok-elok. Kalau ada kain, bungkus dulu kemudian simpan dalam beg sederhana beroda. Jangan ada yang tercicir. Benda lain boleh tercicir, tapi janganlah hadiah yang satu tu. Sayang.

Selesai sesi banjir airmata tu kami beratur menuju keluar untuk menaiki pesawat. Masa ni sekali lagi beratur dan menunggu dengan sabar. Beg bawa sendiri. Tapi kali ni warga emas di beri keutamaan naik dahulu. Senang hati aku tengok. Aku dan keluarga berbaris belakang sekali jadi sebelum naik pesawat sempat lah snap gambar dulu sekeping dua :) Cuaca sangat cantik sebab matahari baru naik.

penerbangan pulang bersama Saudi Airlines 

Masa ni Pokchik dah berjambang. Puas aku pujuk dia cukur biar kemas, tapi dia kata nak bawa balik Malaysia dan bercukur di Malaysia. Baru feeling. Tak faham aku apa simboliknya tapi memang dia balik dengan berjambang serabai begitu. Sampai Malaysia pun seminggu dua baru dia cukur bersih jambang tu. Konon nak feeling pak arab ke..? Muka Asia Tenggara nak feeling pak arab entah lagu mana..! lols.. :p

Kami tiba di Malaysia lebih kurang jam 10 malam. Adik ipar aku yang jemput kami di airport. Tengok lah gambar tu, walaupun separuh barang kami dah pos ke Malaysia lebih awal tapi tetaplah juga beg kami beranak-pinak. Itu benda biasa. Asalkan berpada-pada, InsyaAllah semuanya dengan izin Allah dan akan kembali kepada Allah juga. Oh ya, Air Zam-Zam pun dapat sorang satu botol besar. Sampai di KLIA jangan lupa tuntut air zam-zam masing-masing. 

makanan dalam kapal terbang, sedap yang amat Ya Allah..! :)

selamat sampai ke KLIA pada 3 November 2014

Okey done. Habis dah cerita Kenangan Haji aku lima tahun lepas. Sekali lagi terima kasih untuk semuaaaaaaaaa yang sudi membaca dari siri satu sampai habis siri lima. Alhamdulillah. Aku harap aku dah share sesuatu untuk maanfaat kalian. Silap dan salah, aku mohon ampun dah maaf. Semua kekhilafan daripada aku hambaNya yang serba kekurangan. 

Kepada bakal-bakal Dhuyufurrahman untuk tahun-tahun akan datang yang mungkin membaca perkongsian aku ni, aku doakan selamat berangkat dan selamat menikmati perjalanan penyucian jiwa teragung ini. Jangan terlalu risau, jangan terlalu memikirkan yang berat-berat. Senjata kita hanyalah doa, doa dan doa. Buat persiapan sebaik mungkin, ikut arahan petugas dan selebihnya serahkan kepada Allah s.w.t. yang Maha Pelindung lagi Maha Mengetahui.

Semoga mendapat Haji Yang Mabrur .. :)




...

spacer

Kenangan Haji 2014/1435H [BHGN IV] Perkampungan Mina

Tidak seperti bumi Arafah yang menyambut ketibaan kami dalam rembang senja yang tenang dan penuh syahdu, bumi Mina pula menyambut kedatangan kami dalam suasana hiruk-pikuk seperti pasar pagi. Dengan segala macam suara dan bunyi yang melatari, perkampungan Mina "meriah" walau waktu kami tiba tu sudah menghampiri jam 4 pagi. Sedang elok kami letak beg dalam khemah yang ditetapkan, azan Subuh berkumandang. 

Laluan ke Tingkat 3 Kompleks Jamrah di Mina

Kenangan Haji 2014/1435H di Perkampungan Mina

Seperti yang aku jangka, pengalaman 4 hari aku di Mina tidak semanis dan selancar sewaktu di Arafah. Mungkin Allah s.w.t. telah menjawab segala kegusaran dalam hati aku selama ini dengan ujian demi ujian. Allah uji bermakna Allah sayang, kan? Jadi kena redha. Sebab tu kita jangan bersangka-sangka dengan Allah. Seharusnya kita selaku tetamu di bumiNya berlapang dada dan bersangka baik sahaja kepadaNya. 

Perkampungan Mina tidak ada pemandangan cantik, jauh sekali pemandangan tenang menghijau atau membiru. Yang ada cuma putih, putih dan putih. Sini sana semua putih. Kali ini aku dapat khemah yang agak di tengah-tengah jadi jauh dari jemaah negara lain. Kami punya tandas dan tempat wudhuk juga tak berkongsi dengan jemaah negara lain. Jadi rasa lebih selesa dan lebih mudah berkomunikasi. Cuma di Mina, kami dapat rakan sekhemah yang baru. Tiada lagi makcik berempat dari Langkawi yang sebilik dengan kami di Mekah dan di Arafah.

Ini khemah jemaah pakej swasta kalau tak silap, lebih dekat dengan Kompleks Jamrah

Suasana Di Dalam Khemah Di Mina

Seingat aku dalam satu khemah besar tu, kami ditempatkan mengikut nombor tiang khemah. Satu khemah besar tu ada 10 tiang dan setiap satu tiang dikongsi 12 orang jemaah. Jadi satu khemah besar tu lebih kurang ada 120 orang. 5 ke 6 khemah besar akan berkongsi satu blok tandas. Dalam satu blok tandas tu hanya ada 6 buah tandas/bilik mandi dan 3 pili air untuk berwudhuk. Boleh bayangkan sendiri macam mana hectic kami di Mina. Tandas tu tak pernah kosong, sentiasa ada jemaah yang beratur dan mengambil giliran. Tapi di Mina air paipnya lebih besar dan deras cuma masih sangat panas macam di Arafah juga.

Keluasan dalam khemah pula lebih lebih kurang khemah di Arafah juga. 12 orang satu tiang kena pandai-pandai susun. Bagi semua boleh berbaring, letak beg dan solat dengan selesa seadanya. Terus terang aku cakap memang tak selesa pun, bila kita tidur tu nak berpusing2 memang tak boleh. Kiranya tempat berbaring tu memang ngam-ngam badan kita. Di Mina juga, tanahnya lebih berlekuk-lekuk dan berbonggol-bonggol. Jadi bila bangun pagi rasa sakit-sakit badan tu, perkara biasa.. :)


Tapi khemah di Mina siap aircond. Bertutup keliling dan jemaah lelaki tak boleh datang jengah ke khemah wanita sesuka hati. Selesa lah sedikit kita nak menjaga aurat tu. Boleh lah pakai baju kelawar dan tudung sarung sahaja masa di dalam khemah. Sebab itu, selama 4 hari di Mina aku berlapang dada sahaja. Anggap semua itu adalah kemanisan dalam kepahitan yang akan di kenang sampai akhir hayat.




Ujian Pertama Kami Di Mina

Awal-awal sampai di Mina dah "dapat ujian kesabaran" bila mana tempat aku dan mak mertua aku telah di ambil orang. Terang-terang nama kami pada tiang tersebut tapi ada dua orang jemaah ni berdegil kata tak perlu ikut nama di tiang. Duduk sahaja di mana-mana yang ada kosong. Tapi disebabkan aku dan mak mertua aku antara kumpulan yang lewat tiba ke Mina, jadi khemah kami tu dah penuh. Tak ada ruang lagi.

Sebenarnya ada je ruang kalau susun elok-elok tapi jemaah dalam tu tak nak bagi kerjasama. Masing-masing nak ikut cara sendiri. Hati aku memang dah start panas masa tu, tapi disebabkan aku dah berjanji pada diri sendiri tak nak marah-marah sampai Haji aku selesai maka aku bersabar dan bertahan. Mak mertua aku pun cool je walaupun jelas di wajah dia sedih dan kecewa. Mula-mula kami sampai tu, kami duduk kat tengah-tengah antara barisan 1 dengan barisan 2. Memang mendidih hati aku masa tu sebab mak mertua aku jadi macam orang menumpang, duduk di hujung kaki-kaki orang je. Mana boleh..!! Kita boleh sabar orang buat kat kita tapi bila orang buat kat mak ayah kita atau mak ayah mertua kita, mana boleh tahan kan.

ada laluan bergerak macam kat KLIA tu turut di sediakan, dapatlah rehatkan kaki sebentar.

Di sebabkan kesuntukan masa, aku hold dulu baran aku tu. Dalam hati, aku cuba bertenang dan bagi peluang pada diaorang lagi untuk betulkan keadaan. Lagi pun masa kami sampai di Mina tu dah masuk waktu Subuh, kami lekas-lekas bersiap berwudhuk dan tunaikan solat subuh. Lepas tu berehat sekejap dan tumpang baring di tempat jemaah lain yang kebetulan pergi beratur di tandas. Dapatlah kami lelapkan mata dalam setengah jam lepas tu terpaksa beralih tempat beberapa kali, ikut mana yang kosong dan siapa yang beri izin kami tumpang tempat mereka. Sedangkan yang dua orang jemaah ambil tempat kami tu buat tak tahu je, buat tak nampak kami yang terpaksa "mengemis" tempat ni. Sedih betul.

Bila matahari dah naik sikit, kami bersiap untuk pergi ke kompleks Jamrah dan membuat lontaran yang pertama. Tak sempat tunggu sarapan sampai pun kami dah bertolak sebab nak kejar waktu afdhal melontar. Aku, Pokchik dan mak ayah mertua pergi berempat sahaja tak ikut kumpulan yang ditetapkan Tabung Haji sebab Pokchik dan mak ayah mertua aku dah berpengalaman. Mereka dah tahu mana nak melontar. Cuma yang tak sangka tu rupa-rupanya tahun 2014 tahun pertama Kompleks Jamrah di buka kepada jemaah haji. Dah lain suasananya. Tempat melontar dan bertingkat-tingkat. Terkejut juga Pokchik dibuatnya.


Melontar Jamrah Yang Pertama 

Kami berjalan kaki menuju Kompleks Jamrah hanya mengikut papan tanda dan arah tuju yang disediakan. Pandai-pandai sendiri sahaja tapi aku confident sebab Pokchik ada. Aku mengharapkan dia je lah. Lagipun ada juga jemaah Malaysia yang bersama-sama kami, jadi confident lebih sikit. Berjalan kaki tu jauuuuuhhhhhhh rupanya..!! 3km pergi dan 3km balik. Dengan badan yang masih letih, tak bersarapan lagi dan suasana baharu yang asing untuk kami berempat, perjalanan menuju Jamrah tu jadi sangat mencabar. Beberapa kali kami terpaksa berhenti dan mencuri nafas. Jemaah juga ramai dan padat sebab masing-masing nak mengejar waktu afdhal melontar iaitu sebelum gelincir matahari 10 Zulhijjah. 

Untuk jemaah Asia Tenggara kalau tak silap aku di khususkan melontar di tingkat 3 sahaja. Yang pasti bukan di tingkat bawah sekali. Yang tingkat bawah sekali tu untuk jemaah dari India, Pakistan dan negara-negara Arab lain (kalau tak silap la). Suasananya lebih huru-hara. Kalau jemaah Malaysia nak melontar di tingkat bawah sekali pun boleh tapi risiko tanggung sendiri. Sepanjang perjalanan tu tak berasa sangat kita mendaki sebab laluan yang di buat cantik kemas dan mendatar. Cuma lebih jauh la jaraknya tu.


Sepanjang perjalanan menuju jamrah kami berzikir, istighfar dan bertalbiah. Kami cuma bawa bekal semangat dan iltizam nak segera selesaikan rukun haji yang satu ni sebab selepas selesai melontar jamrah yang pertama, kami boleh bertahlul awal. Boleh keluar dari ihram, bermakna lepas melontar nanti balik ke khemah Mina dan kami boleh mandi, basuh rambut, bercukur dan menukar pakaian baharu. Tu yang tak sabar sangat tu :)

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina
Tiang konkrit di belakang kami itu lah Jamrah. Boleh pergi dekat-dekat sebelum melontar, jangan lontar dari jauh nanti batu tak kena Jamrah tapi kena kepala orang depan. Kesian. :p


Suasana Di Kompleks Jamrah

Subahanallah, kompleks Jamrah ni sangat besar, luas dan cantik. Bertingkat-tingkat pula tu. Memang lebih selesa dan lebih selamat untuk para jemaah yang berjuta-juta. Tak risau bertolak-tolak dan berhimpit-himpit lagi. Laluan masuk dan laluan keluar juga di buat berasingan jadi tak timbul masalah jemaah salah melontar jamrah atau keliru yang mana jamrah yang telah dilontar atau belum dilontar. Kompleks Jamrah ni nampak lebih sistematik dan di kawal selia dengan baik oleh petugas Arab Saudi. 

Cuma dalam perjalanan balik tu kita akan berhadapan dengan sekumpulan peminta sedekah yang agak sedikit merosakkan pemandangan. Mereka ni kalau tak silap aku adalah orang Arab Abasyiah (Arab berkulit hitam), mereka memang macam pendatang sahaja di bumi Mekah. Mereka hidup serba susah dan melarat. Bila musim haji macam ni lah masa mereka nak mendapatkan duit lebih. Mereka akan beramai-ramai duduk di laluan jemaah haji untuk minta sedekah. Kalau kita bagi air atau buah-buahan atau coklat, mereka tak nak terima. Mereka nak duit sahaja. 

hati-hati dengan kumpulan peminta sedekah di Kompleks Jamrah

laluan balik ke khemah maktab, jangan tersalah laluan pula

Sebagai jemaah haji pula, kalau ada lebih duit apa salahnya kita hulur lah kepada mereka. Niat LillahiTaala sahaja. Ada orang pesan jangan bagi sedekah pada mereka ni sebab lagi kita bagi lagi mereka menjadi-jadi. Mereka bukan cacat atau sakit, mereka sihat tubuh badan tapi wallahualam, mereka nampaknya cuma nak duit dengan cara yang singkat dan mudah. Terpulang kepada masing-masing nak bagi sedekah atau tidak, tapi aku nasihatkan di kawasan tu berhati-hatilah. Jaga dompet dan barang-barang anda. Lebih baik kita ambil langkah berjaga-jaga daripada menyesal di kemudian hari kerana kecuaian kita.

Jujurnya aku tak ingat dah macam mana turutan melontar Jamrah sepanjang 4 hari kami di sana. Kalian boleh semak sendiri dalam nota-nota ibadah Haji ye. Satu jamrah tu kena lontar 7 biji batu kalau tak silap (ehh, ke 10 biji batu???) dan nak lontar batu tu ada teknik dan lafaznya. Kena study betul-betul yang tu. Kita kena yakin betul-betul batu yang kita lontar telah kena pada tiang konkrit yang di namakan Jamrah tu, kalau tak.. kena ulang semula sampai kita 100% yakin. Selepas selesai melontar setiap Jamrah juga ada doa yang perlu di baca. Kemudian bertahlul lah di dalam kawasan Komplaks Jamrah tu juga sebelum berjalan balik ke khemah Mina.


Semasa perjalanan balik ke khemah tu lah jemaah mula bertakbir raya. Semakin lama semakin kuat takbir raya bergema. Airmata pun mencurah-curah jatuh membasahi pipi, entah kan kerana sudah selesai ibadah melontar Jamrah pertama atau kerana badan sudah terlalu letih atau kerana berasa puas tidak perlu menjaga pantang larang ihram (kecil) lagi atau menangis kerana merindui sanak-saudara di kampung halaman. Bercampur semua rasa. Sambil melaungkan takbir raya, semakin deras airmata. 

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina

Sampai di khemah, aku tengok mak mertua aku dah letih sangat-sangat. Kebetulan makanan tengahari pun dah sampai. Aku ingat lagi benda pertama yang aku sambar adalah pisang. Nikmatnya makan pisang masa tu hanya Tuhan je tahu, sebab dah lapar sangat. Lepas tu kami bedal nasi dengan sepuas-puasnya. Tak toleh kiri kanan lagi. Then masuk sahaja waktu Zohor, jemaah bergilir-gilir menunaikan solat dan mereka bersiap untuk pergi melontar yang pertama mengikut rombongan dan bimbingan petugas TH. Aku dan mak mertua mengambil kesempatan berharga tu untuk pergi mandi dan membersihkan diri dengan bahagianya sebab tandas banyak kosong. Khemah pun banyak kosong, yang tinggal dalam khemah masa tu warga tua yang terlalu uzur (Rukun melontar untuk mereka dilaksanakan oleh petugas TH) dan sebilangan kecil jemaah lain yang telah selesai melontar Jamrah pertama macam kami juga. Memang aman tenang dan bahagia sungguh masa tu :) Alhamdulillah.

Selesai mandi dan membersihkan diri, kami solat dan terus tidur melepaskan letih dan lelah. Sampai nak masuk waktu Asar baru terjaga. Masa tu kumpulan jemaah yang pergi melontar tu tak balik lagi. Jadi aku cepat-cepat pergi ke pejabat TH untuk mengadukan masalah tempat kami di ambil jemaah lain tu. Aku tak nak pandai-pandai ambil tindakan sendiri sebab aku tak nak lah sampai ada yang berkecil hati atau bermasam muka. Tapi keadilan untuk mak mertua aku tetap juga aku kena usahakan. Itu hak kami. Jadi aku adukan perkara tu pada petugas TH dan mereka berjanji akan selesaikan isu tu secepat mungkin.


Tapi sampai ke malam isu aku tu tak selesai juga. Dua kali dah aku pergi ke pejabat TH untuk mengadu hal yang sama tapi aku faham petugas TH semua sibuk sebab hari pertama di Mina memang hiruk-piruk. Ramai jemaah sesat dalam kawasan perkampungan Mina tu. Setiap minit setiap jam ada sahaja jemaah yang dilapor hilang, tak jumpa khemah masing-masing. Jadi aku kena bersabar dan mengalah. 

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina
Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina


Rasanya menghampiri jam 10 malam barulah ada petugas TH yang datang dan "tazkirah" kan semua jemaah di dalam khemah aku tu. Semua kena rombak balik susunan dan betulkan cara susunan beg masing-masing juga. Petugas TH tu panggil nama sorang-sorang ikut nombor tiang. Sekejap je tak sampai setengah jam isu tu selesai dan kami dapat balik tempat kami yang sepatutnya. See, benda kecil je sebenarnya tapi kalau kita selfish dan asyik nak ikut kepala sendiri memang melarat lah masalah tu. Moral of the story : SILA JANGAN SELFISH dan jangan memandai-mandai. Peace :)

Tiga hari berikutnya, keadaan lebih teratur, tenang dan banyak masa senggang. Sempatlah kami bersiar-siar sekitar perkampungan Mina tu dan melihat-lihat jemaah di khemah maktab sebelah-menyebelah. Selain tu kalau nak shopping pun boleh juga sebab ada ramai peniaga jalanan di kawasan ni. Aku dengan Pokchik tak ada beli apa-apa yang spesifik pun, kalau ada membeli pun cuma beli air, kebab, ayam goreng atau aiskrim. 

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina
Hari terakhir. Petugas pun dah mula bersihkan kawasan Jamrah
Hari terakhir di Mina berjalan dengan sangat pantas dan lancar. Pagi selepas breakfast kami pergi ke Kompleks Jamrah untuk membuat lontaran yang penghabisan dan sempat menitipkan gambar-gambar kenangan buat bekal balik ke Malaysia. Entah bila lagi agaknya kami akan diberi kesempantan untuk berkampung di Mina sebagai jemaah Haji. Sayu hati melihat pemandangan luas lepas dari atas Kompleks Jamrah. Pasti akan dirindui.

Balik ke khemah dan bersiap untuk balik ke Mekah semula. Pastikan uncang batu yang kita bawa dari Mudzalifah tu dah habis bersih tak ada batu-batu atau pasir lagi. Jangan bawa balik sisa-sisa batu atau pasir tu ke Mekah. Malah ada yang pesan, uncang batu tu buang atau tinggalkan sahaja di Mina untuk lebih yakin tak ada sisa dari Mina yang di bawa balik ke Mekah. Check juga tapak selipar/kasut, kalau ada batu-batu kecil yang terselit pada tapak selipar/kasut kita, bersihkan dulu.

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina
Maktab dan nombor khemah kami di Mina
Masa nak balik ke Mekah tu aku dah start demam ringan dan batuk-batuk manja. Sebab di Mina ni cuaca double triple panas dan kering. Bekalan air minuman agak terhad dan kena berebut-rebut. Air mineral yang TH bagi tu, kalau kita dapat pun tak boleh terus minum sebab panas. Tu yang buat aku "kalah" sangat tu. Menjelang Zohor hari keempat di Mina kami sudah berangkat menuju pulang ke Mekah, meninggalkan perkampungan Mina dengan khemah-khemah putih dan jejak-jejak kenangan pahit manis yang mengajar, mendewasakan dan menginsafkan. 

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Di atas kebesaran Mu kami sampai ke sini. Kerana belas ihsan Mu kami selesaikan rukun haji di sini. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah untuk kesempatan dan pelajaran hidup paling istimewa ini.

Jemput lah kami sebagai tetamu Mu lagi Ya Allah. 
Kami akan selalu merindui semua yang di sini.




p/s  :  Sepanjang di Mina aku banyak berbual-bual dengan para jemaah satu khemah. Majoriti makcik-makcik yang sudah lewat usia. Macam-macam cerita ada, yang sedih, yang lucu dan yang menginspirasikan, semua ada. Aku simpan semuanya dalam catatan kenangan aku di dalam hati. Kalau ada masa nanti aku share dalam blog ni.

...


spacer
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...