Kenangan Haji 2014/1435H [ BHGN I ]

Assalamualaikum w.b.t. dan semoga Allah merahmati hari Jumaat kalian walau di mana berada. Entah kenapa hati aku sayu sangat hari ni bila teringat esok sudah 9 Zulhijjah bersamaan Hari Arafah. Satu hari yang sangat bermakna dalam sejarah hidup aku. Kenangan menunaikan Haji kira-kira 5 tahun lalu pun kembali memanggil-manggil. Ya Allah, sungguh aku rindu pada panggilan Mu. Aku rindu pada segala rasa dan airmata yang jatuh di bumi Arafah Mu pada saat itu.

Kenangan Menunaikan Haji 2014/1435H

Kenangan Haji 2014/1435H 

Selepas 5 tahun baru aku di beri kekuatan untuk berkongsi gambar dan catatan pengalaman aku pergi menunaikan Haji. Selama ni tertangguh sebab aku tak tahu bagaimana mahu bermula. Kenangan sepanjang 44 hari yang sangat bermakna tu aku abadikan di dalam hati sahaja.

Sementah pula, 5 bulan selepas kami pulang dari menunaikan Haji tu, mak mertua aku meninggal dunia. Sesuatu yang sangat berat untuk aku terima. Sepanjang 44 hari pergi menunaikan Haji tu aku dengan dia, tinggal sebilik dan sekhemah dengan dia. Makan, tidur, solat semua sama-sama. Terlalu banyak kenangan yang tak mampu aku huraikan. Dia adalah mak mertua yang sangat baik. Sangat senang di jaga. Aku bertuah ada dia bersama-sama aku sepanjang 44 hari tu. Terima kasih Ya Allah, Kau telah berikan aku kesempatan paling tak ternilai. 44 hari yang akan aku simpan kemas-kemas di dalam dada selamanya. Terima kasih Ya Allah. Dan Al-Fatihah buat arwah mak. Semoga tenang di sana bersama-sama insan kesayanganNya. 

Kenangan terindah 44 hari bersama arwah mak mertua

Macam Mana Aku Dapat Pergi Haji ?

Aku tak bercadang nak kongsi pengalaman Haji aku secara details sebab aku pun tak berapa ingat dah semua sekali. Aku cuma nak kongsi pengalaman dan apa yang aku rasa sahaja. Lagipun kalau nak tahu proses satu persatu ibadah Haji ni, kalian bolehlah rujuk ke laman web Tabung Haji Official. Aku pergi 5 tahun lepas (2014), mungkin tak sama prosesnya macam tahun semasa. Harap faham ye. 

Aku cerita sikitlah macam mana aku boleh dapat pergi Haji. Sebab ramai betul sahabat-sahabat dan kenalan yang tanya soalan ni. Okey, mula-mula mestilah kena daftar Haji dulu. Aku daftar Haji tahun 2010 selepas duit dalam akaun aku cukup RM1300. Alhamdulillah. Masa daftar Haji tu, kalau tak silap tahun giliran aku dapat pergi Haji adalah tahun 2034. Aku congak-congak memang sempatlah aku pergi sebelum pencen. Itu pun kalau umur panjang dan sihat badan. Macam mana pula aku cukupkan RM1300 tu, macam biasa lah buat potongan gaji. Bagi kita yang bekerja tetap dengan gaji tetap ni, sila lah buat potongan gaji. Janganlah sombong dengan Allah. Rezeki kita dapat setiap bulan tu Allah yang bagi, kalau kita tak ada niat dan tak ada usaha langsung nak gunakan duit gaji tu untuk menjadi tetamuNya, macam mana kira agaknya? Fikir-fikirkan.

Januari 2014 buat pertama kali aku dapat pergi Umrah. Itu pun sebab aku fikir nak pergi Haji tu lamaaaaaa lagi, entah sempat ke tak. Jadi kami decide nak pergi Umrah dulu. Kami pilih pakej Andalusia yang biasa sahaja. Sebilik 5 orang. Semua kos pergi Umrah tu Pokchik yang tanggung. Aku bawa duit belanja je. Perasaan aku tu Ya Allah, tak tahu nak explain macam mana. Pertama kali menjejakkan kaki ke Madinah tu airmata aku mencurah-curah. Dapat pula masuk Raudhah dan solat sebelah makam Rasulullah s.a.w. memang aku banjir airmata. Pergi pula Mekah, dapat tengok Kaabah live depan mata, banjir airmata lagi. Selama berpuluh tahun aku cuma mendengar cerita Ayah aku tentang Tanah Suci ni, akhirnya aku tiba juga. Alhamdulillah. Ya Allah Kau Maha Pengasih, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pemberi Bahagia.. Kau segala-galanya Ya Allah.


Kenangan umrah dan ziarah pertama 2014

Sepanjang 11 hari ibadah umrah dan ziarah aku tu, banyak aku doa minta Allah jemput lagi aku jadi tetamuNya. Masa buat tawaf dan sa'ie tu dekat mulut aku berzikir dan dalam hati aku doa tak berhenti "aku nak datang lagi ke sini Ya Allah, jemput aku Ya Allah". Ulang-ulang banyak kali sampai hati aku kering. Kemuncaknya, masa buat Tawaf Wida' (tawaf selamat tinggal) tu aku doa lagi, minta sungguh-sungguh Allah jemput aku lagi. Minta Allah murahkan dan mudahkan rezeki aku. Dalam jurai-jurai airmata tu aku minta "Allah, jemput aku lagi untuk Haji pula." masa tu aku terdiam beberapa saat. Betul ke apa aku minta ni..? Dah bersedia ke aku..?

Di pendekkan cerita, selesai ibadah umrah tu kami balik ke Malaysia dan selang beberapa minggu lepas tu Pokchik dapat surat panggilan Haji untuk tahun yang sama (2014/1435H). Pokchik punya happy, senyum lebar sampai telinga. Tapi masa tu Pokchik je yang dapat. Aku tak dapat, mak ayah mertua aku pun tak dapat. Tapi aku tak sedih pun. Aku happy untuk Pokchik. Mind setting aku masa tu memang sedar giliran aku lama lagi. Pokchik suggest buat rayuan. Aku tak yakin langsung tapi why not cuba. Maka bermulalah proses buat rayuan Haji untuk aku.

Kursus Haji Perdana 2014

Alasan paling utama sebab ikut suami. Rayuan pertama kami buat direct terus ke TH Ibu Pejabat (yang bangunan bentuk tabung tu). Kami hantar sendiri (by hand) surat rayuan dengan dokumen sokongan (salinan buku akaun TH, salinan Kad Pengenalan dan surat panggilan Haji suami). Kami tak ada guna 'cable' ke surat sokongan YB ke, tak ada eh. Walaupun ayah aku masa tu masih ada dan merupakan bekas Pengurus TH Daerah tapi aku tak ada guna nama ayah aku pun. Lepas 3 bulan tak ada khabar berita, kami buat rayuan kedua. Kali ni kami merayu untuk mak ayah mertua aku sekali. Rayuan kedua tu kami hantar kat cawangan TH Putrajaya dan Ampang (cawangan berhampiran).

Di pendekkan cerita lagi, selepas rayuan kedua tu baru lah aku berjaya dapat tawaran Haji. Alhamdulillah. Syukur sangat aku masa tu sampai menggigil satu badan. Tambah pula masa pegawai TH call aku tu kalau tak silap 3 hari sebelum 1 Syawal. Bayangkan masa tu orang dah sibuk-sibuk nak raya, aku dapat berita gembira yang ditunggu-tunggu. Double happiness lah untuk aku. Tapi sebenarnya dalam happy dan bersyukur tu, aku menangis dalam hati. Sebab ayah aku baru meninggal lebih kurang sebulan sebelum aku dapat tahu aku dapat pergi Haji tahun ni. 

Sebab tu juga, tahun 2014 adalah tahun paling banyak airmata aku gugur. Berita gembira dan sedih bersilih ganti tahun tu. Aku dapat sebesar-besar perkara dan aku kehilangan sebesar-besar perkara juga dalam tahun yang sama. Aku tak tahu nak gambarkan macam mana roller coaster hidup aku tahun 2014. Tapi aku redha, semuanya.. segalanya.. adalah ketentuan dari Allah s.w.t. jua.

merasa la tidur di Masjid Putra Putrajaya sehari semalam

Tips Buat Rayuan Haji Berkesan

Okey, aku bagi tips untuk buat rayuan Haji yang berkesan ikut apa yang aku tahu lah. Tapi mungkin bagi sesetengah orang, lain cara dan tekniknya. Terpulang kepada keadaan masing-masing.

Yang pertama, MESTI DAH DAFTAR HAJI, tak kira tahun bila kalian daftar Haji tu. Lagi awal lagi bagus. Pastikan suami isteri dah daftar Haji. Walaupun tak ada rancangan nak pergi sama-sama, tapi aku nasihatkan tolonglah dua-dua daftar Haji. Koreklah duit celah mana pun, cukupkan RM1300 dan terus daftar Haji. Jangan lupa mak ayah dan mak ayah mertua kita tu. Kalau belum daftar Haji, nasihatkan mereka cepat daftar Haji. Orang tua-tua ni kadang duit lagi banyak daripada kita tapi lupa nak daftar Haji. So, ingatkan mereka.

Yang kedua, DUIT DALAM AKAUN MESTI DAH CUKUP -+RM10 RIBU. Kalau dalam akaun TH belum cukup, sila cukupkan dulu. Top up la mcam mana pun. Dah cukup RM10k tu baru buat rayuan. Aku ingatkan kat sini, kos RM10k tu untuk seorang sahaja dan untuk yang pergi Haji kali pertama. Untuk yang pergi kali kedua ke ketiga ke atau seterusnya, kos Haji mereka tak ada subsidi lagi, jadi kosnya lebih kurang RM16k (yang terkini aku tak pasti. Tapi tahun 2014 tu Pokchik pergi dengan kos RM16k sebab dia pergi kali kedua). Jadi kalau belum cukup kos tu, sila cukupkan dulu sebelum buat rayuan.

kenangan hiruk-piruk Kompleks Haji Kelana Jaya yang kini tinggal memori

Yang ketiga, bila start musim Haji (boleh rujuk kalendar tentatif Tabung Haji), sembang-sembang dengan saudara-mara terdekat yang mungkin ada dapat panggilan Haji juga. Mak, ayah, mak mertua, ayah mertua, atok, nenek, mak sedara, bapa saudara, adik-beradik.. semuaaaaaa tu mahram terdekat. Kalau mereka ni dapat panggilan Haji, minta salinan surat mereka tu. BUAT RAYUAN KITA IKUT SAUDARA TERDEKAT. Maknanya macam nak pergi sekali. Alasan nak jadi pengiring kepada mereka. Selalunya kalau mahram terdekat kita ni dah tua dan uzur, lagi mudah TH akan luluskan rayuan kita.

Yang keempat, kalau boleh PASTIKAN TUBUH BADAN SIHAT. Kalau ada masalah kesihatan yang kronik terutama yang libatkan masalah jantung, buah pinggang, kencing manis kronik, semua tu susah sikit TH nak lepaskan. Tapi kalau ada surat sokongan doktor, InsyaAllah boleh je. Pastikan semua surat doktor tu disertakan sekali dengan surat rayuan. Masa aku pergi Haji tu umur aku 32 tahun dan Pokchik 37 tahun. Consider kami dapat pergi Haji di usia muda. Jadi TH beranggapan kami tak ada masalah kesihatan, jadi tak perlu sertakan surat doktor atau laporan kesihatan dulu. Suka untuk aku ingatkan, jangan tipu, jangan sorok. Kalau ada penyakit apa-apa, sila bagitahu masa buat rayuan tu. Ingat ye, Allah Maha Mengetahui. 

bersama mak tercinta dan ayah (sentiasa dalam hati) yang dirindui

Yang kelima, yang ni tips tambahan. Kalau boleh lepas kita daftar Haji tu JANGAN KELUARKAN DUIT dalam akaun TH tu lagi. Jadikan simpanan tetap. Aku tak ingat siapa yang pesan benda ni pada aku dulu, tapi mungkin ada betulnya. Teorinya macam ni, bila kita buat rayuan Haji tu, TH akan tengok 'kelancaran dan kecantikan' akaun TH kita. Kalau duit masuk je tak ada keluar-keluar tu makna kita serius dan konsisten nak pergi Haji. Tapi kalau duit kita kejap masuk, kejap keluar. Lepas tu dah 10 tahun lepas daftar Haji pun masih tak cukup-cukup RM10k tu, TH akan anggap kita tak serius.

Tapi jangan la cuak pula. Kalian masih boleh bawa keluar duit dalam TH walaupun dah daftar Haji. Cuma RM1300 je akan dibekukan. Jadi sila lah buat transaksi di TH tu macam biasa asalkan RM1300 tu tak diusik. Cuma kalau nak bagi rekod cantik, jadikan lah akaun TH macam akaun tetap. Jangan risau juga kepada yang betul-betul tak berkemampuan, TH ada dana khas untuk bantu top-up kos Haji bagi golongan kurang berkemampuan. Yang penting daftar Haji dulu :)

Okey dah panjang sangat entry kali ni. Aku sambung lagi dalam entry seterusnya ya. Entry ni pun tak sengaja terbanyak membebel pula. InsyaAllah entry seterusnya aku share benda lebih santai dan banyakkan gambar je. Terima kasih kepada yang sudi baca sampai habis dan aku harap ada manfaat untuk kalian walaupun sekecil-kecil perkara.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. 

:)





...

Post a Comment

2 Comments

  1. Replies
    1. kahh kahh kahhh.. tak boleh blah komen.. hahahaha.. :p

      ...

      Delete