Kalau tak silap perkiraan aku, hari ini Rabu 14 Ogos 2019 adalah hari keempat para jemaah Haji tahun ini berada di Mina. Hari keempat ini juga hari terakhir untuk para jemaah pergi melontar dan akan mula berangkat balik ke Mekah secara berperingkat. Ini cerita jemaah muassasah yang di bawah kelolaan Tabung Haji dan jemaah pakej swasta yang berdaftar dengan Tabung Haji sahaja ye, jemaah yang menggunakan quota negara lain atau pergi ke sana dengan visa Furada itu aku tak pasti macam mana perjalanannya.
Kenangan Haji 2014/1435H dan Perjalanan Ke Arafah
Mengimbau kenangan 5 tahun lalu pada hari kami berangkat ke Arafah tu, suasana agak hectic. Cuaca panas. Jemaah semakin padat dan suasana memang jauh daripada selesa. Sejak pagi, hati aku tak tentu arah sebab aku sedar petang nanti aku bakal memulakan satu perjalanan paling besar dalam hidup aku. Perjalanan yang tidak akan pernah sama dengan 1001 perjalanan yang lain. Salah satu rukun paling utama dalam ibadah haji. Berkali-kali aku membaca notis makluman supaya tak tersilap masa, nombor bas dan tempat berkumpul.
![]() |
Kenangan kami di bumi Arafah yang penuh rahmah |
Kami di arahkan bersiap dan bersedia seawal jam 12 tengahari. Solat Zohor pun hanya di hotel sahaja sebab TH tak nak ada jemaah yang lewat kembali ke hotel kalau solat di Masjidil Haram. Kumpulan pertama yang berangkat ke Arafah menaiki bas pertama kira-kira jam 2 petang. Semua jemaah siap lengkap berpakaian ihram masing-masing dan hanya dibenarkan membawa satu beg (beg sederhana beroda) bersama-sama kami. Jadi rancang pakaian anda secukupnya. Jangan lupa bawa juga bekalan makanan dan minuman yang dirasakan perlu sahaja. Kemudian kami di arah berkumpul di lobi hotel mengikut zon yang ditetapkan (ikut no.maktab).
Proses nak berangkat ke Arafah ni bukan mudah, jadi kena banyak sabar. Bagi kerjasama yang sepatutnya kepada petugas TH supaya urusan lancar. Kumpulan aku sendiri berangkat ke Arafah selepas waktu Asar. Untuk makluman juga, di dalam bas tu tak semua jemaah akan dapat tempat duduk ya, ada jemaah yang perlu berdiri. Jadi yang muda-muda dan kaum lelaki mohon mengalah, bagi tempat duduk kepada warga tua dan kaum wanita. Perjalanan ke Arafah tak jauh sangat pun, dalam satu jam lebih sahaja. Tapi kadang-kadang boleh jadi dua jam juga kalau kesesakan jalan raya teruk. Sebab tu juga kenapa TH arahkan para jemaah muassasah Malaysia bertolak awal ke Arafah. Selepas Maghrib nanti trafik akan jadi lebih teruk sebab para jemaah dari negara lain akan mula bergerak ke Arafah.
![]() |
Ini view di belakang khemah Arafah kami. Masa ni lepas Subuh |
Sepanjang perjalanan ke Arafah tu, kita akan nampak berduyun-duyun jemaah haji negara lain yang berjalan kaki menuju ke Arafah. Subahanallah.. Allahu Akhbar..! Pemandangan yang sangat luar biasa. Kita yang di dalam bas ni rasa bertuah sebab ada kenderaan, sedangkan mereka berjalan kaki dan ada yang berlari-lari anak ke Arafah. Semua dengan muka semangat dan ceria. Sambil bertalbiyah. Bergema di jalan raya suara-suara tetamu Allah ini memuji-muji Allah.
Labbaikallahummalabbaik dan Perjalanan Paling Bermakna
Kami di dalam bas pun tak kurang juga, beramai-ramai kami bertalbiyah sambil diselang-seli dengan esak tangis. Ya Allah, masih segar memori tu dalam ingatan aku. Suatu saat paling sayu pernah aku alami. Bercampur-baur perasaan masa tu. Tak tergambar dengan kata-kata. Perjalanan yang tak sampai dua jam tu menjadi perjalanan paling panjang untuk kami. Bayangkan semua dalam bas tu tak kira lelaki perempuan, tua muda semua menangis. Basah pipi dan merah mata masing-masing. Dengan langit Asar yang semakin redup menghampiri Maghrib, dengan pemandangan serba putih kiri dan kanan dek para jemaah yang memenuhi bahu jalan, kami terus bertalbiyah di dalam sedu-sedan suara yang perit menyimpan perasaan.
![]() |
Aku datang menyahut panggilan Mu Ya Allah |
Kalimah talbiyah ni walaupun pendek dan ringkas, tapi bila di dalami maksudnya, hati jadi bagai disagat-sagat. Pedih. Kalau sebelum ni aku selalu dengar arwah Ayah mengulang-ulang kalimah talbiyah ni di setiap kali kursus Haji, kali ni aku sendiri melaungkannya. Rasa tu lain. Menusuk ke dalam hati. Kali itu, pada saat itu, aku betul-betul sedang menjawab panggilan Mu Ya Allah. Aku datang Ya Allah, aku datang memenuhi panggilan Mu.. Aku datang Ya Allah, membawa dosa-dosa yang penuh di atas dada, membawa diri yang kerdil lagi hina, membawa segala tanggungan di atas bahu... Aku datang Ya Allah, terima lah aku bersama dosa-dosa ku, terima lah aku bersama segala ketidakupayaan aku mentaati Mu.. aku datang Ya Allah..
Suasana Khemah Jemaah Haji Di Arafah
Dalam remang senja akhirnya kami tiba di bumi Arafah. Terus di bawa ke khemah yang telah ditetapkan. Aku lupa dah nombor khemah dan nombor maktab aku. Khemah-khemah di Arafah di pasang secara terbuka. Dinding khemah dipasang 3 sisi sahaja manakala satu sisi lagi di biar tanpa dinding. Suasana khemah di Arafah memang tak selesa, berlapik karpet nipis dan tanah berbonggol-bonggol tak rata. Ruang untuk seorang jemaah cukup-cukup badan kita ke. Boleh baring tapi kaki kena mengekot sedikit.
![]() |
Waktu malam di Arafah. Boleh nampak jemaah negara lain di belakang tu berjalan dan bertalbiah |
Sampai je di Arafah, kami tak tunggu lama terus berbaris untuk ambil wudhuk. Selesaikan solat fardhu secara jamak dahulu sebelum menghabiskan masa untuk talbiyah, berzikir dan membaca Al-Quran. Walaupun kita tak boleh buat solat-solat sunat sebab dah jamak solat, tapi cuba habiskan masa dan sibukkan diri dengan ibadah. .Elakkan berbual kosong atau tidur sahaja. Di bumi Arafah ni kita cuma ada sehari semalam untuk buat semua, manfaatkan lah sebaik-baiknya. Lewat malam baru mata mengantuk. Lelapkan mata dan rehatkan badan seketika sebelum bangun semula seawal jam 3 pagi untuk berbaris ke toilet, berwudhuk dan kembali fokus pada ibadah.
Mohon jaga pantang larang ihram masing-masing. Jangan suka-suka cabut rumput atau patah2kan ranting pokok. Berhati-hati masa merapikan diri jangan sampai sengaja menarik atau menggugurkan rambut. Tak boleh berwangi-wangian. Nak guna minyak angin pun kena hati-hati juga, ada minyak angin yang tidak dibolehkan dalam ihram. Bertolak ansur dengan jemaah lain, jangan mandi di Arafah apatah lagi mencuci pakaian. Tolong hormat masa dan hak jemaah lain.
Di Arafah kita berkongsi bilik air dengan beratus-ratus orang jemaah. Kalau ada 10 tandas yang disediakan, biasanya hanya satu atau dua sahaja tandas yang boleh diguna. Yang lain semua sumbat atau tak ada air. Pili untuk ambil wudhuk di sediakan di luar tandas tapi dalam 3 atau 4 unit sahaja. Juga perlu dikongsi bersama-sama beratus orang jemaah lain. Berhati-hati semasa beristinjak kerana air pili sangat panas. Dan air pili juga sangat halus. Lebih halus daripada jari kelingking manusia dewasa. Masa ni gunakan lah kebijaksanaan masing-masing dan urus masa dengan sebaik-baiknya. Sebab tu kena bawa botol spray untuk mudahkan kita ambil wudhuk, jimat air dan jimat masa. Untuk yang tak pernah hidup berkongsi dan bertolak ansur.. aku ucapkan Good Luck..! :)
![]() |
Pagi di bumi Arafah. Selepas breakfast. Di Arafah dan Mina, jemaah di beri makan 3 kali sehari |
Pagi di bumi Arafah sangat menakjubkan. Sana sini terdengar suara-suara jemaah mengalunkan bacaan ayat Al-Quran. Sayup-sayup namun menenangkan. Pagi di Arafah walaupun khemah kami jauh dari Jabbal Rahmah dan tak nampak pemandangan lain selain khemah-khemah putih, tapi tetap menggamit satu rasa istimewa dalam hati. Pagi paling sempurna yang tak akan aku lupakan sampai bila-bila. Percaya atau tidak, pada usia 32 tahun aku antara yang Allah izinkan untuk berada di situ, pada waktu itu, di dalam ihram itu dan hati aku tak berhenti mengucapkan syukur atas apa jua yang telah Dia kurniakan. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Haji Akhbar 1435H
Oleh kerana Hari Wukuf untuk musim Haji 1435H jatuh pada hari Jumaat, maka ada yang menggelarnya sebagai Haji Akhbar (Haji yang paling baik). Semua orang tahu betapa istimewa hari Jumaat tu sendiri, doa di makbulkan, ibadah kita buat dikira berganda dan lain-lain lagi. Tambahan pula kami sebagai jemaah haji pada tahun tu sedang berwukuf di Arafah, di dalam ihram haji dan dikira sebagai musafir pula lagi. Allahu Akhbar..!
![]() |
Macam ni lah suasana khemah kami di Arafah. Khemah terbuka jadi kena jaga aurat sepanjang masa |
![]() |
Gambar kenangan dengan rakan sebilik kami di hotel Mekah dan sekhemah di Arafah |
Kutbah Jumaat dan Kutbah Arafah di bacakan bersekali pada waktu Zohor 9 Zulhijjah. Kami semua duduk di dalam khemah masing-masing sambil mendengar khutbah Arafah melalui pembesar suara. Panjang teks kutbah yang dibacakan. Tapi setiap bait kata bagai sulaman benang sutera di dalam hati. Lembut dan membelai jiwa. Tak sedar masa berlalu pantas, walau dalam suasana panas terik, sedikit berhimpit-himpit, jemaah muslimah dengan telekung bertutup penuh, namun semuanya terasa selesa. Alhamdulillah. Selesai khutbah Arafah, kami solat jamak Zohor dan Asar diikuti zikir dan doa Arafah. Masa ni kami beramai-ramai banjir airmata lagi dan lagi.
Berdoalah Sepuas-Puasnya Sampai Hati Lembik Longlai
Selepas selesai semua tu baru lah dibenarkan para jemaah keluar daripada khemah dan mencari sudut-sudut terpencil yang di rasakan selesa untuk berdoa sepuas-puasnya. Menadah tangan terus dari langit terbuka di bumi Arafah yang berbahagia. Kalau nak berdoa di dalam khemah pun boleh tapi lebih afdhal berdoa di kawasan terbuka tidak berbumbung. Lagipun mesti lah kita nak berdoa di tempat yang sedikit privacy. Ini masa kita dengan Allah sepenuhnya. Doa-doa pada masa ini di angkat terus kepada Allah tanpa hijab.
![]() |
Maafkan muka serabai aku tu. Yang Pokchik pakai kat hidung tu adalah penapis hidung. Lelaki tak boleh menutup muka di dalam ihram tapi Arafah sangat kering dan berdebu. Jadi pakailah alat tu. |
Alhamdulillah Allah Maha Pengasih, cuaca daripada panas terik tu perlahan-lahan bertukar menjadi redup dan berangin. Aku dan Pokchik pun tak lepaskan peluang untuk berdoa bersama-sama. Kami cari sudut sedikit jauh daripada khemah dan mula berzikir dan berdoa. Tapi sebelum tu, macam biasa mesti lah minta maaf minta ampun daripada pasangan terlebih dahulu. Lepas tu berdoa lah sepuas-puasnya bak kata Ustaz Dato Daud Che Ngah, masa tu berdoa lah, minta lah ampun daripada Allah bersungguh-sungguh, minta lah apa nak minta, menangis lah sampai airmata kering, merayulah, merintih lah.. sampai hati jadi lembik longlai.
Waktu Mustajab Berdoa di Hari Arafah
Waktu mustajab berdoa di hari Arafah tu adalah di antara masuknya waktu Zohor hingga habis waktu Asar. Gunakan sebaik-baiknya dan kalau boleh sebelum berangkat ke Arafah tu dah bersiap sedia dengan doa-doa yang nak dibacakan. Tulis dalam buku catatan dan sebagainya supaya kita tak terlupa apa yang nak didoakan. Jangan lupa berzikir, bertasbih dan memuji-muji Allah sepanjang tempoh mustajab berdoa di hari Arafah tu. Menjelang Maghrib, jemaah kembali berkumpul di khemah masing-masing dan mula berangkat menaiki bas untuk mabit di Mudzalifah pula.
![]() |
Masa tunggu giliran naik bas nak ke Mudzalifah |
Aku, Pokchik dan mak ayah mertua pilih untuk bertenang dan tak nak bersesak-sesak dengan jemaah lain. Jadi kami naik bas yang hujung-hujung bertolak. Sempatlah kami solat jamak Maghrib dan Isyak di Arafah sebelum berangkat ke Mudzalifah. Menaiki bas ke Mudzalifah ni sekali lagi kami di hidangkan dengan pemandangan yang sungguh menakjubkan dan menginsafkan. Kita akan nampak beribu-ribu jemaah negara lain dengan pakaian ihram berada di bahu-bahu jalan. Ada yang berjalan, ada yang duduk-duduk dan ramaiiiiii yang baring-baring dan sedang tidur. Ada yang tidur tepi longkang, tebing jalan, celah pagar, tepi tong sampah, di bawah jambatan waima ada yang tidur betul-betul di tepi tandas awam. Semua ruang penuh dengan manusia.
Mereka datang dari seluruh pelusuk dunia untuk menunaikan ibadah Haji. Tanpa kelengkapan dan layanan istimewa. Mereka betul-betul bermusafir membawa hati untuk Allah s.w.t. Sungguh mengesankan. Airmata aku menghujan lebat. Kalau kita jemaah Malaysia ni nak merungut tentang suasana khemah di Arafah yang tak selesa, yang panas, yang bermacam-macam bau.. cuba lah kita renungkan nasib jemaah lain tu pula. Kita ni jauuuuuuhhhhh lebih beruntung sebenarnya. Bersyukurlah.
![]() |
suasana mabit (singgah sebentar) di Mudzalifah |
Mabit di Mudzalifah
Tiba di Mudzalifah, jemaah lain sudah penuh membanjiri ruang tanah lapang. Macam semut, dari jauh nampak putih sahaja sebab semua jemaah masih di dalam ihram. Jenuh juga nak cari ruang untuk kami parking tikar dan barang-barang. Lepas dah selesa dengan ruang yang ada, baru lah kami bergilir-gilir pergi mengutip batu. Kena kutip 70 biji batu saiz sederhana untuk setiap seorang. Kalau boleh kutip la lebih. Kami kutip dalam 80 ke 90 biji batu seorang. Tolong pastikan batu yang kita kutip tu betul-betul batu dan bukan gumpalan pasir atau tanah..! Kena belek betul-betul.
Masa ni suasana meriah, macam ada sukaneka. Para jemaah kelihatan ceria walau keletihan. Masing-masing mengambil kesempatan ni untuk bergurau dan release tension. Tak nak lah serius sangat kan. Kita happy lah sikit. Macam-macam lawak jenaka dan tingkah laku melucukan kita dapat tengok. Tak kering gusi sungguh. Maklumlah, tugas mengutip 70 biji batu ni walaupun nampak senang tapi dalam lautan manusia yang beribu-ribu orang tu, dengan suasana gelap hanya ada cahaya lampu suluh, dengan masing-masing nak jaga ihram terutama kaum lelaki yang tak boleh mencangkung atau menonggeng sebarangan.. hahahaha..!! Memang kelakar, ada sahaja terdengar suara usik mengusik mereka padahal tak saling mengenali pun sebelum tu.
![]() |
Kutip 70-90 biji batu di Mudzalifah |
Mabit di Mudzalifahh dalam tiga ke empat jam sahaja, kemudian berangkat lagi menaiki bas terus ke perkampungan Mina. Masa ni sekali lagi hati aku berdebar-debar sebab sebelum ni, aku dengar banyaaaaakkkk cerita tentang jemaah Haji di Mina. Khabarnya perkampungan Mina ni sangat mencabar dan sangat menguji iman. Ya Allah, risaunya hati. Dalam keadaan badan dah penat, tekak kering, cuaca panas, khemah tak selesa, dah hampir 48 jam tak mandi, dengan tidur dan rehat tak cukup.. aku sangat bimbang. Segalanya mungkin terjadi, iman senipis kulit bawang di tambah dengan panas baran aku yang memang 'penyakit' keturunan ni.
Ya Allah, peganglah hati ku.. tebalkan sabar ku..
bersambung..
...
0 Comments