Kenangan Haji 2014/1435H [BHGN IV] Perkampungan Mina

Tidak seperti bumi Arafah yang menyambut ketibaan kami dalam rembang senja yang tenang dan penuh syahdu, bumi Mina pula menyambut kedatangan kami dalam suasana hiruk-pikuk seperti pasar pagi. Dengan segala macam suara dan bunyi yang melatari, perkampungan Mina "meriah" walau waktu kami tiba tu sudah menghampiri jam 4 pagi. Sedang elok kami letak beg dalam khemah yang ditetapkan, azan Subuh berkumandang. 

Laluan ke Tingkat 3 Kompleks Jamrah di Mina

Kenangan Haji 2014/1435H di Perkampungan Mina

Seperti yang aku jangka, pengalaman 4 hari aku di Mina tidak semanis dan selancar sewaktu di Arafah. Mungkin Allah s.w.t. telah menjawab segala kegusaran dalam hati aku selama ini dengan ujian demi ujian. Allah uji bermakna Allah sayang, kan? Jadi kena redha. Sebab tu kita jangan bersangka-sangka dengan Allah. Seharusnya kita selaku tetamu di bumiNya berlapang dada dan bersangka baik sahaja kepadaNya. 

Perkampungan Mina tidak ada pemandangan cantik, jauh sekali pemandangan tenang menghijau atau membiru. Yang ada cuma putih, putih dan putih. Sini sana semua putih. Kali ini aku dapat khemah yang agak di tengah-tengah jadi jauh dari jemaah negara lain. Kami punya tandas dan tempat wudhuk juga tak berkongsi dengan jemaah negara lain. Jadi rasa lebih selesa dan lebih mudah berkomunikasi. Cuma di Mina, kami dapat rakan sekhemah yang baru. Tiada lagi makcik berempat dari Langkawi yang sebilik dengan kami di Mekah dan di Arafah.

Ini khemah jemaah pakej swasta kalau tak silap, lebih dekat dengan Kompleks Jamrah

Suasana Di Dalam Khemah Di Mina

Seingat aku dalam satu khemah besar tu, kami ditempatkan mengikut nombor tiang khemah. Satu khemah besar tu ada 10 tiang dan setiap satu tiang dikongsi 12 orang jemaah. Jadi satu khemah besar tu lebih kurang ada 120 orang. 5 ke 6 khemah besar akan berkongsi satu blok tandas. Dalam satu blok tandas tu hanya ada 6 buah tandas/bilik mandi dan 3 pili air untuk berwudhuk. Boleh bayangkan sendiri macam mana hectic kami di Mina. Tandas tu tak pernah kosong, sentiasa ada jemaah yang beratur dan mengambil giliran. Tapi di Mina air paipnya lebih besar dan deras cuma masih sangat panas macam di Arafah juga.

Keluasan dalam khemah pula lebih lebih kurang khemah di Arafah juga. 12 orang satu tiang kena pandai-pandai susun. Bagi semua boleh berbaring, letak beg dan solat dengan selesa seadanya. Terus terang aku cakap memang tak selesa pun, bila kita tidur tu nak berpusing2 memang tak boleh. Kiranya tempat berbaring tu memang ngam-ngam badan kita. Di Mina juga, tanahnya lebih berlekuk-lekuk dan berbonggol-bonggol. Jadi bila bangun pagi rasa sakit-sakit badan tu, perkara biasa.. :)


Tapi khemah di Mina siap aircond. Bertutup keliling dan jemaah lelaki tak boleh datang jengah ke khemah wanita sesuka hati. Selesa lah sedikit kita nak menjaga aurat tu. Boleh lah pakai baju kelawar dan tudung sarung sahaja masa di dalam khemah. Sebab itu, selama 4 hari di Mina aku berlapang dada sahaja. Anggap semua itu adalah kemanisan dalam kepahitan yang akan di kenang sampai akhir hayat.




Ujian Pertama Kami Di Mina

Awal-awal sampai di Mina dah "dapat ujian kesabaran" bila mana tempat aku dan mak mertua aku telah di ambil orang. Terang-terang nama kami pada tiang tersebut tapi ada dua orang jemaah ni berdegil kata tak perlu ikut nama di tiang. Duduk sahaja di mana-mana yang ada kosong. Tapi disebabkan aku dan mak mertua aku antara kumpulan yang lewat tiba ke Mina, jadi khemah kami tu dah penuh. Tak ada ruang lagi.

Sebenarnya ada je ruang kalau susun elok-elok tapi jemaah dalam tu tak nak bagi kerjasama. Masing-masing nak ikut cara sendiri. Hati aku memang dah start panas masa tu, tapi disebabkan aku dah berjanji pada diri sendiri tak nak marah-marah sampai Haji aku selesai maka aku bersabar dan bertahan. Mak mertua aku pun cool je walaupun jelas di wajah dia sedih dan kecewa. Mula-mula kami sampai tu, kami duduk kat tengah-tengah antara barisan 1 dengan barisan 2. Memang mendidih hati aku masa tu sebab mak mertua aku jadi macam orang menumpang, duduk di hujung kaki-kaki orang je. Mana boleh..!! Kita boleh sabar orang buat kat kita tapi bila orang buat kat mak ayah kita atau mak ayah mertua kita, mana boleh tahan kan.

ada laluan bergerak macam kat KLIA tu turut di sediakan, dapatlah rehatkan kaki sebentar.

Di sebabkan kesuntukan masa, aku hold dulu baran aku tu. Dalam hati, aku cuba bertenang dan bagi peluang pada diaorang lagi untuk betulkan keadaan. Lagi pun masa kami sampai di Mina tu dah masuk waktu Subuh, kami lekas-lekas bersiap berwudhuk dan tunaikan solat subuh. Lepas tu berehat sekejap dan tumpang baring di tempat jemaah lain yang kebetulan pergi beratur di tandas. Dapatlah kami lelapkan mata dalam setengah jam lepas tu terpaksa beralih tempat beberapa kali, ikut mana yang kosong dan siapa yang beri izin kami tumpang tempat mereka. Sedangkan yang dua orang jemaah ambil tempat kami tu buat tak tahu je, buat tak nampak kami yang terpaksa "mengemis" tempat ni. Sedih betul.

Bila matahari dah naik sikit, kami bersiap untuk pergi ke kompleks Jamrah dan membuat lontaran yang pertama. Tak sempat tunggu sarapan sampai pun kami dah bertolak sebab nak kejar waktu afdhal melontar. Aku, Pokchik dan mak ayah mertua pergi berempat sahaja tak ikut kumpulan yang ditetapkan Tabung Haji sebab Pokchik dan mak ayah mertua aku dah berpengalaman. Mereka dah tahu mana nak melontar. Cuma yang tak sangka tu rupa-rupanya tahun 2014 tahun pertama Kompleks Jamrah di buka kepada jemaah haji. Dah lain suasananya. Tempat melontar dan bertingkat-tingkat. Terkejut juga Pokchik dibuatnya.


Melontar Jamrah Yang Pertama 

Kami berjalan kaki menuju Kompleks Jamrah hanya mengikut papan tanda dan arah tuju yang disediakan. Pandai-pandai sendiri sahaja tapi aku confident sebab Pokchik ada. Aku mengharapkan dia je lah. Lagipun ada juga jemaah Malaysia yang bersama-sama kami, jadi confident lebih sikit. Berjalan kaki tu jauuuuuhhhhhhh rupanya..!! 3km pergi dan 3km balik. Dengan badan yang masih letih, tak bersarapan lagi dan suasana baharu yang asing untuk kami berempat, perjalanan menuju Jamrah tu jadi sangat mencabar. Beberapa kali kami terpaksa berhenti dan mencuri nafas. Jemaah juga ramai dan padat sebab masing-masing nak mengejar waktu afdhal melontar iaitu sebelum gelincir matahari 10 Zulhijjah. 

Untuk jemaah Asia Tenggara kalau tak silap aku di khususkan melontar di tingkat 3 sahaja. Yang pasti bukan di tingkat bawah sekali. Yang tingkat bawah sekali tu untuk jemaah dari India, Pakistan dan negara-negara Arab lain (kalau tak silap la). Suasananya lebih huru-hara. Kalau jemaah Malaysia nak melontar di tingkat bawah sekali pun boleh tapi risiko tanggung sendiri. Sepanjang perjalanan tu tak berasa sangat kita mendaki sebab laluan yang di buat cantik kemas dan mendatar. Cuma lebih jauh la jaraknya tu.


Sepanjang perjalanan menuju jamrah kami berzikir, istighfar dan bertalbiah. Kami cuma bawa bekal semangat dan iltizam nak segera selesaikan rukun haji yang satu ni sebab selepas selesai melontar jamrah yang pertama, kami boleh bertahlul awal. Boleh keluar dari ihram, bermakna lepas melontar nanti balik ke khemah Mina dan kami boleh mandi, basuh rambut, bercukur dan menukar pakaian baharu. Tu yang tak sabar sangat tu :)

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina
Tiang konkrit di belakang kami itu lah Jamrah. Boleh pergi dekat-dekat sebelum melontar, jangan lontar dari jauh nanti batu tak kena Jamrah tapi kena kepala orang depan. Kesian. :p


Suasana Di Kompleks Jamrah

Subahanallah, kompleks Jamrah ni sangat besar, luas dan cantik. Bertingkat-tingkat pula tu. Memang lebih selesa dan lebih selamat untuk para jemaah yang berjuta-juta. Tak risau bertolak-tolak dan berhimpit-himpit lagi. Laluan masuk dan laluan keluar juga di buat berasingan jadi tak timbul masalah jemaah salah melontar jamrah atau keliru yang mana jamrah yang telah dilontar atau belum dilontar. Kompleks Jamrah ni nampak lebih sistematik dan di kawal selia dengan baik oleh petugas Arab Saudi. 

Cuma dalam perjalanan balik tu kita akan berhadapan dengan sekumpulan peminta sedekah yang agak sedikit merosakkan pemandangan. Mereka ni kalau tak silap aku adalah orang Arab Abasyiah (Arab berkulit hitam), mereka memang macam pendatang sahaja di bumi Mekah. Mereka hidup serba susah dan melarat. Bila musim haji macam ni lah masa mereka nak mendapatkan duit lebih. Mereka akan beramai-ramai duduk di laluan jemaah haji untuk minta sedekah. Kalau kita bagi air atau buah-buahan atau coklat, mereka tak nak terima. Mereka nak duit sahaja. 

hati-hati dengan kumpulan peminta sedekah di Kompleks Jamrah

laluan balik ke khemah maktab, jangan tersalah laluan pula

Sebagai jemaah haji pula, kalau ada lebih duit apa salahnya kita hulur lah kepada mereka. Niat LillahiTaala sahaja. Ada orang pesan jangan bagi sedekah pada mereka ni sebab lagi kita bagi lagi mereka menjadi-jadi. Mereka bukan cacat atau sakit, mereka sihat tubuh badan tapi wallahualam, mereka nampaknya cuma nak duit dengan cara yang singkat dan mudah. Terpulang kepada masing-masing nak bagi sedekah atau tidak, tapi aku nasihatkan di kawasan tu berhati-hatilah. Jaga dompet dan barang-barang anda. Lebih baik kita ambil langkah berjaga-jaga daripada menyesal di kemudian hari kerana kecuaian kita.

Jujurnya aku tak ingat dah macam mana turutan melontar Jamrah sepanjang 4 hari kami di sana. Kalian boleh semak sendiri dalam nota-nota ibadah Haji ye. Satu jamrah tu kena lontar 7 biji batu kalau tak silap (ehh, ke 10 biji batu???) dan nak lontar batu tu ada teknik dan lafaznya. Kena study betul-betul yang tu. Kita kena yakin betul-betul batu yang kita lontar telah kena pada tiang konkrit yang di namakan Jamrah tu, kalau tak.. kena ulang semula sampai kita 100% yakin. Selepas selesai melontar setiap Jamrah juga ada doa yang perlu di baca. Kemudian bertahlul lah di dalam kawasan Komplaks Jamrah tu juga sebelum berjalan balik ke khemah Mina.


Semasa perjalanan balik ke khemah tu lah jemaah mula bertakbir raya. Semakin lama semakin kuat takbir raya bergema. Airmata pun mencurah-curah jatuh membasahi pipi, entah kan kerana sudah selesai ibadah melontar Jamrah pertama atau kerana badan sudah terlalu letih atau kerana berasa puas tidak perlu menjaga pantang larang ihram (kecil) lagi atau menangis kerana merindui sanak-saudara di kampung halaman. Bercampur semua rasa. Sambil melaungkan takbir raya, semakin deras airmata. 

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina

Sampai di khemah, aku tengok mak mertua aku dah letih sangat-sangat. Kebetulan makanan tengahari pun dah sampai. Aku ingat lagi benda pertama yang aku sambar adalah pisang. Nikmatnya makan pisang masa tu hanya Tuhan je tahu, sebab dah lapar sangat. Lepas tu kami bedal nasi dengan sepuas-puasnya. Tak toleh kiri kanan lagi. Then masuk sahaja waktu Zohor, jemaah bergilir-gilir menunaikan solat dan mereka bersiap untuk pergi melontar yang pertama mengikut rombongan dan bimbingan petugas TH. Aku dan mak mertua mengambil kesempatan berharga tu untuk pergi mandi dan membersihkan diri dengan bahagianya sebab tandas banyak kosong. Khemah pun banyak kosong, yang tinggal dalam khemah masa tu warga tua yang terlalu uzur (Rukun melontar untuk mereka dilaksanakan oleh petugas TH) dan sebilangan kecil jemaah lain yang telah selesai melontar Jamrah pertama macam kami juga. Memang aman tenang dan bahagia sungguh masa tu :) Alhamdulillah.

Selesai mandi dan membersihkan diri, kami solat dan terus tidur melepaskan letih dan lelah. Sampai nak masuk waktu Asar baru terjaga. Masa tu kumpulan jemaah yang pergi melontar tu tak balik lagi. Jadi aku cepat-cepat pergi ke pejabat TH untuk mengadukan masalah tempat kami di ambil jemaah lain tu. Aku tak nak pandai-pandai ambil tindakan sendiri sebab aku tak nak lah sampai ada yang berkecil hati atau bermasam muka. Tapi keadilan untuk mak mertua aku tetap juga aku kena usahakan. Itu hak kami. Jadi aku adukan perkara tu pada petugas TH dan mereka berjanji akan selesaikan isu tu secepat mungkin.


Tapi sampai ke malam isu aku tu tak selesai juga. Dua kali dah aku pergi ke pejabat TH untuk mengadu hal yang sama tapi aku faham petugas TH semua sibuk sebab hari pertama di Mina memang hiruk-piruk. Ramai jemaah sesat dalam kawasan perkampungan Mina tu. Setiap minit setiap jam ada sahaja jemaah yang dilapor hilang, tak jumpa khemah masing-masing. Jadi aku kena bersabar dan mengalah. 

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina
Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina


Rasanya menghampiri jam 10 malam barulah ada petugas TH yang datang dan "tazkirah" kan semua jemaah di dalam khemah aku tu. Semua kena rombak balik susunan dan betulkan cara susunan beg masing-masing juga. Petugas TH tu panggil nama sorang-sorang ikut nombor tiang. Sekejap je tak sampai setengah jam isu tu selesai dan kami dapat balik tempat kami yang sepatutnya. See, benda kecil je sebenarnya tapi kalau kita selfish dan asyik nak ikut kepala sendiri memang melarat lah masalah tu. Moral of the story : SILA JANGAN SELFISH dan jangan memandai-mandai. Peace :)

Tiga hari berikutnya, keadaan lebih teratur, tenang dan banyak masa senggang. Sempatlah kami bersiar-siar sekitar perkampungan Mina tu dan melihat-lihat jemaah di khemah maktab sebelah-menyebelah. Selain tu kalau nak shopping pun boleh juga sebab ada ramai peniaga jalanan di kawasan ni. Aku dengan Pokchik tak ada beli apa-apa yang spesifik pun, kalau ada membeli pun cuma beli air, kebab, ayam goreng atau aiskrim. 

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina
Hari terakhir. Petugas pun dah mula bersihkan kawasan Jamrah
Hari terakhir di Mina berjalan dengan sangat pantas dan lancar. Pagi selepas breakfast kami pergi ke Kompleks Jamrah untuk membuat lontaran yang penghabisan dan sempat menitipkan gambar-gambar kenangan buat bekal balik ke Malaysia. Entah bila lagi agaknya kami akan diberi kesempantan untuk berkampung di Mina sebagai jemaah Haji. Sayu hati melihat pemandangan luas lepas dari atas Kompleks Jamrah. Pasti akan dirindui.

Balik ke khemah dan bersiap untuk balik ke Mekah semula. Pastikan uncang batu yang kita bawa dari Mudzalifah tu dah habis bersih tak ada batu-batu atau pasir lagi. Jangan bawa balik sisa-sisa batu atau pasir tu ke Mekah. Malah ada yang pesan, uncang batu tu buang atau tinggalkan sahaja di Mina untuk lebih yakin tak ada sisa dari Mina yang di bawa balik ke Mekah. Check juga tapak selipar/kasut, kalau ada batu-batu kecil yang terselit pada tapak selipar/kasut kita, bersihkan dulu.

Perkampungan Mina, Melontar Jamrah, Kompleks Jamrah, memori di mina, jemaah haji malaysia di mina, keadaan dalam khemah di Mina
Maktab dan nombor khemah kami di Mina
Masa nak balik ke Mekah tu aku dah start demam ringan dan batuk-batuk manja. Sebab di Mina ni cuaca double triple panas dan kering. Bekalan air minuman agak terhad dan kena berebut-rebut. Air mineral yang TH bagi tu, kalau kita dapat pun tak boleh terus minum sebab panas. Tu yang buat aku "kalah" sangat tu. Menjelang Zohor hari keempat di Mina kami sudah berangkat menuju pulang ke Mekah, meninggalkan perkampungan Mina dengan khemah-khemah putih dan jejak-jejak kenangan pahit manis yang mengajar, mendewasakan dan menginsafkan. 

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Di atas kebesaran Mu kami sampai ke sini. Kerana belas ihsan Mu kami selesaikan rukun haji di sini. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah untuk kesempatan dan pelajaran hidup paling istimewa ini.

Jemput lah kami sebagai tetamu Mu lagi Ya Allah. 
Kami akan selalu merindui semua yang di sini.




p/s  :  Sepanjang di Mina aku banyak berbual-bual dengan para jemaah satu khemah. Majoriti makcik-makcik yang sudah lewat usia. Macam-macam cerita ada, yang sedih, yang lucu dan yang menginspirasikan, semua ada. Aku simpan semuanya dalam catatan kenangan aku di dalam hati. Kalau ada masa nanti aku share dalam blog ni.

...


Post a Comment

2 Comments

  1. alhamdulillah kak ain dapat jadi tetamuNYA tahun ini. Doakan miza pulak InsyAllah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alamdulillah.. cerita 5 tahun dulu ni.. :)
      Kak ain pergi Haji tahun 2014.

      ...

      Delete