Ini bahagian terakhir cerita Kenangan Haji 2014/1435H aku lima tahun lepas. Jenuh juga nak habiskan lima bahagian sebab puas cut sini cut sana. Itu pun panjang berjela juga yang aku bebel. Terima kasih banyak-banyak kepada yang sudi baca cerita Haji aku dari mula sampai bahagian akhir ni. Aku sangat-sangat menghargai kesungguhan kalian.
Okey. Macam yang aku dah share dalam post Kenangan Haji Bhgn II hari tu, balik dari Mina aku sakit. Demam dan batuk yang super kronik sampai melepek badan. Solat di hotel sahaja sebab dalam keadaan batuk-batuk, tak nak la ganggu dan sebar virus kepada jemaah lain. Lagipun aku memang tak larat sangat-sangat. Tapi lepas tiga ke empat hari, walau belum sihat sepenuhnya aku tetap gagahkan diri pergi juga Masjidil Haram untuk selesaikan Tawaf dan Sa'ie Haji aku. Kalau tangguh lama-lama takut period aku datang pula. Sedang elok lepas dua hari aku selesaikan Tawaf dan Sa'ie Haji tu, betul-betul aku period. Di tambah dengan kesihatan yang teruk tu, memang aku memerap je lah kat hotel.
![]() |
Madinah Bumi Bercahaya |
Kenangan Haji 2014/1435H Hari-Hari Terakhir Di Mekah
Tinggal di Mekah total 30 hari (termasuk 5 hari di Arafah dan Mina). Ini bermakna lepas balik dari Mina tu, kami ada lebih kurang dua minggu lagi berada di Mekah sebelum berangkat ke Madinah. Suasana Mekah pun dah aman dan tenang sebab ramai jemaah dah beransur balik. Jadi masa-masa ni paling sedap untuk ulang-alik ke masjid. Gunakan lah kesempatan tu sebaik-baiknya. Kalau kesihatan mengizinkan, pergilah buat Umrah sunat banyak-banyak kali.
Tapi ikut kemampuan masing-masing sebab kos nak naik teksi/bas keluar Mekah untuk berniat Umrah tu semua kita tanggung sendiri. Lepas tu risiko pun tangungjawab masing-masing, pandai-pandailah bawa diri dan jaga keselamatan. Seeloknya sebelum pergi niat Umrah tu maklumkan dulu dengan rakan-rakan sebilik dan petugas TH di maktab masing-masing. Aku sendiri sempat buat umrah sunat 3 kali sahaja, selebihnya berulang-alik masjid untuk solat fardhu, tawaf sunat, qiam dan solat malam. Alhamdulillah.
![]() |
Ikon Masjidil Nabawi |
Berangkat Ke Madinah Pada 1 Muharram 1436H
Sehari sebelum berangkat ke Madinah kami dah siap kemas beg besar, pack elok-elok dan kumpulkan di lobi hotel mengikut pembahagian kod (no.maktab). Beg besar tu akan di hantar dulu ke Madinah. Keesokkan paginya, kami keluar awal untuk ke Masjidil Haram. Hari terakhir untuk solat malam dan tawaf sunat di Masjidil Haram. Lepas tu solat subuh berjemaah dan bergerak balik ke hotel untuk sarapan, mandi dan bersiap (last round). Barang-barang semua dah siap kemas, letak di lobi hotel dan kami berjalan kaki ke Masjidil Haram untuk solat sunat dan Tawaf Wida' (tawaf selamat tinggal).
Kalau nak buat apa-apa solat sunat, sila buat sebelum Tawaf Wida'. Kalau nak bergambar atau nak beli apa-apa barang keperluan (termasuk beli makanan dan minuman, nak tukar duit, nak beri sedekah dan lain-lain) semua buat sebelum buat Tawaf Wida'. Sebab selepas selesai sahaja Tawaf Wida' jangan berlengah lagi terus berjalan balik ke hotel dan menunggu di lobi. Tak perlu naik ke bilik hotel lagi sebab kita dah check out. Jangan lupa ke tandas dahulu sebab perjalanan dari Mekah ke Madinah agak jauh dan kalau berhenti di RnR pun tandas selalunya penuh dan kurang selesa. Bila bas dah ready dan petugas TH arahkan kita naik bas, terus naik bas dan jangan lupa sentiasa berzikir. Elakkan buat benda-benda lagha. Ini adab kita nak tinggalkan Tanah Suci. Dan ya, tolong menepati masa dan menghormati hak orang lain. Biar kita tunggu orang, jangan orang tunggu kita.
Aku menangis di dalam hati sejak selesai Tawaf Wida' sampai bas bergerak perlahan-lahan meninggalkan Mekah. Sayu betul hati. Rasa terlalu banyak kenangan di bumi Mekah ni walaupun sangat hectic, sangat memenatkan, sangat huru-hara, sangat panas dan sangat menduga kesabaran. Pertama kali aku stay di Mekah begitu punya lama. Rutin harian dah jadi sebati dalam diri. Tawaf sunat setiap kali sebelum atau selepas solat fardhu tu dah macam kebiasaan yang tak boleh ditinggalkan. Selepas ni, entah bila di beri kesempatan datang ke Mekah lagi.
![]() |
berjalan-jalan di sekitar Masjidil Nabawi di sebelah pagi |
Perjalanan Dari Mekah Ke Madinah
Seingat aku kami jemaah dari dua maktab, bergerak serentak dengan menggunakan 10 ke 20 buah bas. Perjalanan dari Mekah ke Madinah memakan masa lebih kurang 5 ke 6 jam. Kami berhenti rehat sekali sahaja untuk makan, ke toilet, segarkan diri dan solat jamak di sebuah RnR. Suasana di RnR panas dan kering. Kemudahan tak selesa macam RnR di Malaysia. Surau pun kecil sahaja. Kebetulan waktu kami tiba di RnR tu bersekali dengan jemaah dari Ghana atau Kenya (aku tak ingat). Semua kulit gelap tapi MasyaAllah mereka ni muka je garang dan serius tapi baik hati, peramah dan sedia bertolak ansur. Nak ambil wudhuk pun mereka sanggup beratur panjang dan bagi jemaah warga tua dahulu. Bagus sangat akhlak mereka. Subahanallah.
Berhenti rehat tu dalam 2 jam sahaja, lepas tu perjalanan di teruskan semula. Jangan salah naik bas ye..! Semua bas nampak sama. Jadi sila hafal no.bas atau no. maktab kita. Sepanjang dalam bas aku dah tak mampu menahan ngantuk. Memang tidur sahajalah sampai ke Madinah. Kami tiba di Madinah lebih kurang satu jam sebelum masuk Maghrib. Menunggu pula di lobi hotel untuk proses ambil kunci bilik. Di Madinah ni kami dapat rakan sebilik yang baharu. Sebilik cuma 4 orang sahaja. Bilik pun lebih luas dan selesa berbanding di Mekah. Sudah lah begitu, jarak dari hotel ke Masjid Nabawi juga lebih dekat (lebih kurang 500 meter). Makanya sepanjang di Madinah selama kurang lebih 10 hari tu, sangat mudah untuk kami berulang-alik ke masjid.
![]() |
satu kewajipan beli coklat ni -- kegemaran Pokchik zaman berzaman |
Suasana di Masjidil Nabawi, Madinah
Di Madinah cuaca lebih sejuk dan tenang. Orang-orangnya juga cool and steady tak kelam-kabut macam di Mekah. Peniaga-peniaga di Madinah lebih ramah dan mesra malah ramai yang pandai berbahasa Malaysia sedikit-sedikit. Aktiviti di Madinah juga tak banyak berbeza, pagi bangun awal dan ke masjid tunaikan solat-solat sunat sambil menunggu waktu Subuh. Selesai solat subuh berjemaah, habiskan masa membaca Al-Quran sampai matahari naik menerangi bumi Madinah Nan Bercahaya.
![]() |
satu-satunya gambar kenangan arwah mak mertua di depan Masjid Nabawi yang aku ada |
Berjalan kaki balik ke hotel dan singgah beli sarapan dahulu. Sambil tu boleh cuci mata tengok burung-burung merpati yang banyaaaaaakkk dan jinak. Jangan kedekut, beli sedikit makanan burung dan tebar sahaja atas lantai dataran luar masjid pasti akan ada merpati yang sudi. Selesai sarapan di hotel (sarapan beli sendiri, tidak di sediakan oleh pihak TH) balik ke bilik dan berehat. Masa ni selalunya aku akan spend masa membaca buku atau membasuh baju. Di minggu terakhir sebelum balik Malaysia baru lah pulun shopping..!hehehehhe.. :)
![]() |
bagi makan burung merpati adalah satu terapi |
Masuk Raudhah sebelah malam selepas Isyak. Lebih panjang tempoh yang di beri jadi kita tak perlu tergesa. Seingat aku sepanjang di Madinah aku dapat masuk Raudhah 7 kali. Semuanya sebelah malam. Keluar dari Raudhah, aku dan Pokchik akan spend time duduk bersantai di dataran Masjid Nabawi sambil berbual-bual. Masa ni Pokchik akan share banyak kisah sirah Nabi dan hal-hal tentang ibadah (dia kan cikgu sejarah aku). Sambil tu boleh tengok gelagat jemaah lain yang macam-macam gaya dan cara.
![]() |
keadaan dalam coaster menuju ke Masjid Quba |
Ziarah Masjid Quba
Antara ibadah yang tak boleh di lepaskan bila berada di Madinah adalah menziarahi Masjid Quba. Ada pendapat mengatakan menziarahi Masjid Quba ni sama pahala seperti melakukan satu kali Umrah. Wallahualam tapi pergi lah dengan niat Lillahitaala. Kos nak ke Masjid Quba kita tanggung sendiri. Boleh naik coaster yang di sediakan di depan hotel penginapan jemaah. Tapi kena bijak pilih coaster ye, ada yang 'tekan' harga. Seeloknya pakat dulu dengan jemaah lain dan naik coaster yang sama. Tak silap aku satu coaster boleh muat 10 orang. Bayarannya pun berpatutan sebab coaster ni akan hantar kita dan tunggu kita selesai ibadah di masjid kemudian bawa kita balik ke hotel.
Masjid Quba ni tak jauh pun, dalam setengah jam sahaja boleh sampai. Tapi pemandu coaster kami ni pelakon Fast & Furious agaknya. Dia memandu macam bawa jet pejuang, punyalah laju sampai melambung-lambung. Kalau ada warga emas atau ibu mengandung, mohon pesan dulu kepada pemandu coaster tu untuk memandu lebih berkhemah dan penuh hikmah. Kami di beri masa kurang lebih 1 jam sahaja untuk qiam di Masjid Quba (1 jam tu termasuk lah beribadah, berdoa puas-puas, shopping dan snap pic banyak-banyak). Kami tak shopping apa-apa pun kecuali beli tasbih dan sedekah kepada jemaah susah di luar masjid. Dan ya, ramai peminta sedekah di luar Masjid Quba terutama kanak-kanak.
Suka diingatkan kawasan Masjid Quba ni juga mengelirukan. Ramai jemaah sesat kat situ walaupun masuk dan keluar ikut pintu yang sama. Coaster kita naik tu pun mula-mula turunkan kita kat tempat lain, bila balik dia tunggu di tempat lain. Seeloknya jangan bergerak sendirian, biar berkumpulan jadi lebih mudah pemandu coaster tu nak cari kita. Di nasihatkan juga pergi Masjid Quba ni sebelah pagi selepas sarapan, elakkan pergi pada waktu solat fardhu sebab jemaah berdekatan akan memenuhi masjid dan keadaan jadi lebih tak terkawal.
![]() |
suasana selepas solat maghrib di luar Masjidil Nabawi |
Kalau di Mekah, aku memang tak pernah sekali pun ikut solat Jumaat tapi di Madinah aku tak lepaskan peluang mesti ikut serta walaupun ada sekali tu terpaksa solat di luar masjid sebab lewat tiba dan kawasan dalam masjid dah penuh. Duduk dan dengar khutbah Jumaat dalam bahasa Arab yang kita tak paham satu perkataan pun tu adalah hal yang membahagiakan. Solat di luar masjid juga adalah sesuatu yang manis, macam-macam kerenah jemaah kita boleh tengok. Anak-anak kecil dan bayi comel-comel ada merata-rata di setiap sudut pandang. Meriah. Pemandangan yang sangat mahal dan tak akan dilupakan sampai akhir hayat.
Membeli-belah di Madinah
Pengalaman mengajar aku untuk membuat pilihan yang lebih baik. Mujur dah pernah pergi Umrah sebelum tu, jadi memang dah tahu beza shopping di Madinah jauh lebih seronok dan berbaloi berbanding shopping di Mekah. Kurma dan buah-buahan di Madinah lebih segar dan manis. Jubah dan sejadah di Madinah juga jauh lebih menarik, banyak pilihan, harga berpatutan dan paling penting nak shopping pun lebih selesa sebab ruang kedai yang lebih mesra pembeli. Maka, kalau anda ke Tanah Suci simpan duit untuk membeli-belah di Madinah sahaja. Apa yang ada di Mekah semua ada di Madinah malah lebih baik dan berkualiti. Jangan risau.
Tawar menawar waktu membeli-belah di sana adalah satu kemestian. Orang-orang Arab ni baik-baik kalau kita baik dengan mereka. Jangan sombong. Kalau tak nak beli, tolak elok-elok dengan senyuman dan kata-kata memuji dan syukur. Jangan jadi pembeli yang bossy atau terlampau cerewet. Kena ingat, kita datang tempat mereka walaupun kita tetamu Allah dan sepatutnya kita mendapat layanan istimewa tapi kita dan dia sama-sama hambaNya, jangan nak rasa diri besar sangat. Macam di negara kita juga : amalkan Budi Bahasa Budaya Kita :)
![]() |
gambar kenangan di depan hotel penginapan kami di Madinah (Hotel Al-Haram) |
Rancang dulu apa kita nak beli dan berapa kuantiti serta bajet. Jangan rambang mata dan lupa diri. Kalau nak beli cenderahati untuk saudara-mara dan sahabat handai di Malaysia, belilah ikut kemampuan kita bukan ikut standard mereka. Selain tu, aku cadangkan guna khidmat pos yang di sediakan di sana. Barang-barang yang kita beli tu separuh pos ke Malaysia dulu jadi beg besar kita tak lah pecah atau "beranak kembar" bila nak balik nanti. Kena ingat ye, kita jemaah muassasah ni semua kena buat sendiri. Beg besar, sederhana dan kecil semua angkat sendiri tak ada tukang angkat beg untuk kita. Kalau tak nak terseksa jiwa menyeret beg dekat airport nanti, sila pos dulu barang-barang yang dirasakan perlu.
Proses Balik Ke Tanah Air
Kalau tak silap aku, 1 atau 2 hari sebelum berangkat balik kita dah di arahkan hantar beg besar untuk di packing dan di bawa terus ke airport. Ada had berat beg yang telah di tetapkan untuk setiap jemaah. Jadi kalau terlebih muatan tu, jemaah kena keluarkan balik barang dan masukkan ke dalam beg yang lain (kalau ada). Di lobi hotel nanti di sediakan alat penimbang. Pastikan anda kemas beg besar tu awal-awal dan timbang siap-siap. Bila dah letak di lobi, tak boleh ambil semula. Beg yang lebih muatan ni akan di tahan di airport nanti, silap-silap kita dah sampai Malaysia pun beg tu tak sampai-sampai lagi.
Hari terakhir di bumi Madinah yang berbahagia tu, macam biasa kami solat subuh berjemaah di masjid dan qiam dulu di masjid untuk satu ke dua jam. Selepas tu ziarah wida' makam Rasulullah s.a.w. dari sebelah luar masjid sahaja sebab tak digalakkan ikut jemaah masuk ke Raudhah lagi sebab takut lambat. Ziarah Wida' ni sunat sahaja, tapi sangat-sangat dituntut kerana ia adab kita nak tinggalkan bumi Madinah jadi usahakan bagi sempat ziarah makam Rasulullah s.a.w. sebelum bergerak balik.
![]() |
pagi terakhir di bumi Madinah |
Kemudian balik ke hotel dan menunggu di lobi sebelum berangkat menaiki bas untuk terus ke Jeddah. Kami bergerak meninggalkan Madinah selepas solat Zohor di bilik hotel masing-masing. Perjalanan Madinah ke Jeddah memang lama, lebih kurang 6 jam lebih. Singgah sekali di RnR untuk makan dan menyegarkan diri. Sampai di aiport Jeddah tu awal malam, kena menunggu lagi. Yang ni memang lama, sangat lama sampai nak pengsan-pengsan sebab tak selesa. Badan dah letih betul. Cuaca panas dan bahang. Jemaah ramai, kawasan sempit dan tak selesa. Tapi bekal kita cuma istighfar istighfar dan istighfar sahaja sampai lelap.
Selepas menunggu sekian lama, akhirnya kami bergerak menuju tempat check in. Nak masuk ke kompleks check ini kita kena beratur pula. Satu jam lebih beratur ni. Berdiri sambil seret beg sederhana beroda masing-masing. Masa ni la kesabaran memang bak telur di hujung tanduk, bila-bila masa boleh pecah. Kesian aku tengok jemaah warga emas yang terpaksa berdiri lama untuk beratur. Nasib baik waktu malam, kuranglah panas tapi bahang tetap terasa. Ada warga tua yang terpaksa tahan kencing sebab takut nak keluar dari barisan. Kalau kita yang muda pun tahan kencing 10 minit dah rasa azab, bayangkan mak ayah atok nenek kita. Kesian oiii.
![]() |
begini lah suasana kami beratur lebih satu jam sebelum check in |
(Disclaimer : Benda ni aku dah buat report direct ke Tabung Haji sejurus sampai Malaysia. Aku harap TH pandang berat hal ni. TH perlu fikirkan sesuatu, kesian jemaah tua-tua tu. Lenguh weii berdiri satu jam lebih. Ohh ya, ramai jemaah kita yang bawa tongkat siap tempat duduk tu (gambar) tapi tiba dekat kastam tu, mereka tahan. Tak boleh bawa tongkat tu naik kapal terbang. Jadi kena tinggalkan di kaunter kastam. Again, kesian gila weii kat jemaah kita tu. Ada yang baru beli tongkat tu kat Madinah nak bawa balik Malaysia. Aku ada minta petugas TH runding dengan orang Arab tu tapi tak jalan gak. Tetap kena "buang" tongkat tu. Tapi petugas TH kata diaorang akan kutip semua dan bawa balik Mekah untuk sedekah di Masjidil Haram. Mudah-mudahan dapat pahala berganda-ganda untuk tuan punya tongkat tu. Aamiin.)
![]() |
Gambar Google : Tongkat dengan kerusi |
Lepas selesai proses check in yang punya leceh dan berjam-jam lamanya tu, kami di kumpulkan di satu tempat ber'aircond' dan berkerusi untuk berehat. Masa ni dah tengah malam, masing-masing pun keletihan yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata lagi. Lebih 12 jam dalam perjalanan yang tak tentu duduk berdiri dan rehatnya. Lebih 12 jam tak berbaring. Lebih 12 jam naik bas, turun bas, berjalan, duduk, berjalan duduk. Ya, memenatkan dan tak selesa langsung. Tapi janganlah merungut. Tolong tahan diri, kita masih dalam perjalanan musaffir kerana Allah. Sabar, istighfar, last called punya ujian, jangan sampai tergelincir.
![]() |
suasana ruang menunggu selepas check in |
Ruang menunggu ni agak selesa berbanding ruang sebelum check in tu. Jemaah kita sahaja tak ada jemaah dari negara lain. Masa ni kita di galakkan berzikir atau membaca Al Quran atau paling tidak tidur sahaja. Jangan berbual kosong nanti takut tak sengaja ter'mengumpat' atau ter'merungut' pula. Menunggu di ruang ni pun lamaaaaaaaa sampai masuk waktu Subuh. Bergilir-gilir la solat subuh di ruang khas yang disediakan. Ruang solat ni terbuka jadi kita yang jemaah wanita kena pakai telekung siap-siap dalam bilik air. Bersesak-sesak sikit lah tapi InsyaAllah boleh di urus dan semua dapat solat Subuh sebelum habis waktu.
Hadiah Terakhir Paling Istimewa
Selesai solat Subuh ni ada tazkirah ringkas daripada Ustaz yang di lantik oleh TH. Tazkirah ni walaupun pendek dan ringkas tapi dia punya deep, menusuk sampai ke pangkal jantung. Sekeras-keras hati manusia ni bila sekali diingatkan tentang kebesaran Allah, tentang betapa baiknya Allah, tentang betapa pemurahnya Allah, tentang betapa beruntungnya kita, tentang betapa Allah tak pernah lupa akan kita walau beribu kali kita melupakanNya.... confirm berjurai airmata juga. Betul tak..? Sayu memang sayu. Tazkirah tu adalah bekal yang penghabisan untuk kami sebelum di lepaskan kembali ke tanah air.
Memang banjir sekejap ruang menunggu tu. Tak ada tahan-tahan lagi, semua mengalirkan airmata. Bercampur-baur rasa antara perasaan rindu nak tinggalkan Tanah Suci dan rindu pada keluarga di tanah air. Rindu yang membuak-buak tak tahu nak luah kepada siapa. Rasa takut dan gemuruh yang tak ada siapa yang faham. Rasa bersih, rasa segar, rasa terang bercahaya yang tak ada siapa boleh nampak. Begitu lah.
![]() |
dengan makcik sebilik di Mekah |
![]() |
dengan makcik sebilik di Mekah |
![]() |
dengan rakan satu khemah waktu di Arafah |
![]() |
dengan makchik satu khemah waktu di Mina |
![]() |
gambar kenangan dengan sahabat arwah Ayah dan kebetulan mereka sebilik dengan Pokchik di Mekah |
![]() |
gambar kenangan dengan Haji Din, beliau dulu satu pejabat malah pegawai kanan arwah Ayah di TH Batu Pahat |
Selesai tazkirah ringkas dan pesanan-pesanan azimat tu, kami beratur dan bersalaman sesama jemaah. Sambil berselawat ke atas Baginda Rasulullah s.a.w.. Sambil bersalam dan berpelukan, saling mendoakan juga. Selepas tu kami di beri senaskhah Al-Quran seorang satu. Ini hadiah daripada kerajaan Arab Saudi untuk setiap jemaah Haji. Al-Quran tu peganglah elok-elok. Kalau ada kain, bungkus dulu kemudian simpan dalam beg sederhana beroda. Jangan ada yang tercicir. Benda lain boleh tercicir, tapi janganlah hadiah yang satu tu. Sayang.
Selesai sesi banjir airmata tu kami beratur menuju keluar untuk menaiki pesawat. Masa ni sekali lagi beratur dan menunggu dengan sabar. Beg bawa sendiri. Tapi kali ni warga emas di beri keutamaan naik dahulu. Senang hati aku tengok. Aku dan keluarga berbaris belakang sekali jadi sebelum naik pesawat sempat lah snap gambar dulu sekeping dua :) Cuaca sangat cantik sebab matahari baru naik.
![]() |
penerbangan pulang bersama Saudi Airlines |
Masa ni Pokchik dah berjambang. Puas aku pujuk dia cukur biar kemas, tapi dia kata nak bawa balik Malaysia dan bercukur di Malaysia. Baru feeling. Tak faham aku apa simboliknya tapi memang dia balik dengan berjambang serabai begitu. Sampai Malaysia pun seminggu dua baru dia cukur bersih jambang tu. Konon nak feeling pak arab ke..? Muka Asia Tenggara nak feeling pak arab entah lagu mana..! lols.. :p
Kami tiba di Malaysia lebih kurang jam 10 malam. Adik ipar aku yang jemput kami di airport. Tengok lah gambar tu, walaupun separuh barang kami dah pos ke Malaysia lebih awal tapi tetaplah juga beg kami beranak-pinak. Itu benda biasa. Asalkan berpada-pada, InsyaAllah semuanya dengan izin Allah dan akan kembali kepada Allah juga. Oh ya, Air Zam-Zam pun dapat sorang satu botol besar. Sampai di KLIA jangan lupa tuntut air zam-zam masing-masing.
![]() |
makanan dalam kapal terbang, sedap yang amat Ya Allah..! :) |
![]() |
selamat sampai ke KLIA pada 3 November 2014 |
Okey done. Habis dah cerita Kenangan Haji aku lima tahun lepas. Sekali lagi terima kasih untuk semuaaaaaaaaa yang sudi membaca dari siri satu sampai habis siri lima. Alhamdulillah. Aku harap aku dah share sesuatu untuk maanfaat kalian. Silap dan salah, aku mohon ampun dah maaf. Semua kekhilafan daripada aku hambaNya yang serba kekurangan.
Kepada bakal-bakal Dhuyufurrahman untuk tahun-tahun akan datang yang mungkin membaca perkongsian aku ni, aku doakan selamat berangkat dan selamat menikmati perjalanan penyucian jiwa teragung ini. Jangan terlalu risau, jangan terlalu memikirkan yang berat-berat. Senjata kita hanyalah doa, doa dan doa. Buat persiapan sebaik mungkin, ikut arahan petugas dan selebihnya serahkan kepada Allah s.w.t. yang Maha Pelindung lagi Maha Mengetahui.
Semoga mendapat Haji Yang Mabrur .. :)
...
1 Comments
Done follow sini.. Nice sharing 👍
ReplyDelete